Monday, October 20, 2014

Perginya Seorang Sahabat

Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan kepadaNYA kita akan dikembalikan

Pagi tadi kami mendapat khabar duka. Sahabat perantau ketika di bumi Melbourne, Sdr Farid Wajdi Ariffin telah pun mendahului kita semua pada malam tadi. Sekitar jam 10:45 malam, beliau menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta di Hospital Selayang. Penyakit Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) yang dihidapinya sejak 4 tahun lalu menjadi asbab yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT.

Kisah penyakit yang dideritai Farid pernah kami paparkan di blog ini pada bulan Oktober, 2010 (Mohon Doakan Farid) ketika kami semua masih lagi berada di bumi Melbourne.

Gambar bertarikh 30/3/2014 tika menziarahinya
Kami mendapat mesej, jenazah Almarhum Farid akan dibawa ke Masjid Salehuddin al-Ayubi di Taman Melati kira-kira jam 8:30 pagi untuk urusan memandi dan mengkafan sebelum disolatkan sekitar jam 10:30 pagi. Seterusnya jenazah dikebumikan di Taman Samudera, Batu Caves.

AlhamduliLlah saya dapat turut serta. Ketemu beberapa rakan lama ketika di Melbourne dahulu, antaranya Ustaz Khairul Pascoe Vale, Ustaz Zain Dandenong, Sdr Anang Clayton, Sdr Tarmizi Clayton dan Sdr Zul Clayton. Juga beberapa pasangan masing-masing. Selebihnya ramai yang berkirim salam dan ucapan takziah kerana tidak berkesempatan untuk hadir.  Demikianlah secebis tanda keakraban yang tiada bertepi yang sedia terjalin sesama kami walaupun hanya kenal ketika di bumi asing.

Lebih terasa lagi, beberapa hari sebelumnya Almarhum Farid telah meminta Ustaz Khairul untuk menguruskan jenazah beliau. Sememangnya beliau telah pasti ajalnya semakin hampir. Amanat ini telah dilaksanakan oleh Ustaz dalam suasana yang amat memilukan terutama ketika mengimami solat jenazah ke atas almarhum. Jelas suara sendu di setiap lafaz doa yang dibacakan.

Moga Salwa Hana dan anakanda tercinta, Toriq Ziad serta seluruh ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan redha dengan ketentuan ini. Hampir semua ahli keluarga arwah di Selangor dan Kedah turut serta termasuk kedua ibu dan ayahnya yang telah tua dan uzur. Sepatah kata ayahnya selepas mencium dahi arwah sambil mengesat tubir mata yang berair , "Aku tengok dia macam tidur aje". Benar bagai dikata.
Ya ALLAH, Engkau rahmati dan redhai akan roh Farid serta himpunkanlah di kalangan para solehin yang mendapat syurgaMU tanpa hisab. Ameen,

Farid, taqdirmu telah pun berakhir sedangkan kami ini masih menunggu bila, di mana dan bagaimana keadaannya kami akan dipanggil untuk menurutimu. Teka teki ini amat menggerunkan hati kami. Inshaa ALLAH moga kita diketemukan di JannahNYA. Ameen

Tuesday, October 14, 2014

Selamat Menduduki PT3

Mulai semalam, para pelajar Tingkatan 3 sedang bertungkus lumus menduduki peperiksaan bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Mengikut jadual, perjuangan mereka akan berakhir pada hari Khamis ini. 
Di dalam keluarga kami tiada yang berada di Tingkatan 3 tahun ini. Yang ada adalah 2 orang anak saudara - seorang di Selangor dan seorang lagi di Terengganu iaitu Ain Farhani dan Syazni.

Selamat Berjuang kepada semua para pelajar Tingkatan 3. Moga dilimpahi rahmat, dicerahkan hati dan dianugerahi kecemerlangan. Ameen.

Merekalah antara perintis kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) -  satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. 
PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 
                                                             (kutipan dari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia)

Entahlah... kami sendiri pun tidak jelas dengan PBS ini. Apa yang diketahui hanyalah dari cakap-cakap orang sekeliling dan juga sumber rujukan yang terlalu umum. 
Tengok dahululah hasil dari kumpulan perintis ini dan berdikit-dikit cuba memahami kaedah dan pendekatan yang dilaksanakan. Tambahan pula pada tahun hadapan anak sendiri yakni Nur Solehah yang akan menghadapinya, maka kami perlulah faham sefaham-fahamnya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kemusykilan di belakang hari. Inshaa ALLAH.

Cuma, apa yang diharapkan sistem ini dapat memberi kesan yang lebih baik kepada para pelajar terutama dari segi pembentukan sahsiah diri selari dengan kecemerlangan dalam pembelajaran. Paling utama para pelajar dapat menimba ilmu dalam suasana yang lebih ceria dan menyeronokkan tanpa tekanan dan deraan rohani dan jasmani.
Dengan kata lain, PT3 diharap lebih baik daripada SRP dan PMR.

Saturday, October 11, 2014

Selamat Kembali Haji dan Hajjah

Bermula hari ini, para jemaah haji mulai berangkat pulang dari Tanah Suci Makkah. Difahamkan penerbangan terakhir dari Tanah Suci Madinah adalah pada 15 Muharram 1436 H ~ 8 Nov 2014 M.

AlhamduliLlah, akhirnya tuntutan ke-lima dari Rukum Islam dapat disempurnakan. Inilah rahmat ALLAH SWT yang tidak terperi nikmatnya. 

Sebarang kesulitan yang dilalui sepanjang berada di Makkah dan Madinah, lebih-lebih lagi ketika di bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina dirasakan tiada apa-apanya. Malah terasa rindu pula untuk ke sana lagi. Segalanya atas ketentuan Illahi.

Apa yang diharapkan hanyalah satu, moga dikurniakan Haji Mabrur - haji yang diterima oleh ALLAH SWT. Sesungguhnya Haji Akbar yang diwar-warkan tahun ini kerana hari Wukuf bersekali dengan hari Jumaat bukannya tiket untuk mendapat Haji Mabrur. Ianya sekadar kelebihan yang telah ditentukanNYA. Semuanya bergantung kepada amalan haji dan keikhlasan hati. Jika baik bagi ALLAH, maka baiklah ganjarannya. Begitu juga sebaliknya. NauzubiLlahiminzaalik.

Namun di sebalik rasa syukur dapat menunaikan ibadah haji serta seronok dapat bertemu kembali ahli keluarga dan sanak saudara, sewajarnya terselit kebimbangan yang amat besar, "Mampukah aku kekalkan aura haji sepanjang hayat?". Antara aura haji adalah sentiasa mempunyai rasa rendah diri, sentiasa berjemaah di masjid/surau (terutama lelaki), membaca dan melaksanakan tuntutan (tadabbur) al-Quran, zikruLLah, bersedekah, solat malam, menjaga batasan aurat, bersilaturrahim, suka menolong dan bermacam-macam lagi amalan mulia ketika di Tanah Suci.

Inilah cabaran sebenar bagi para jemaah haji. Moga kita digolongkan di kalangan yang terpilih.
Ya ALLAH kurniakanlah kepada kami haji yang mabrur dan berikanlah kekuatan kepada kami untuk mengekalkan setiap kebaikan dan kebajikan yang kami lakukan. Hanya redhaMU yang kami harapkan. Ameen.

Thursday, October 9, 2014

Gerhana Bulan Penuh

Gerhana Bulan berlatarkan Jambatan Pulau Pinang (Foto: Danial Saad)
Awal malam - malam tadi telah berlaku fenomena gerhana bulan penuh. Menariknya dikatakan ia berwarna merah, dikenali sebagai Bulan Berdarah (Bloodmoon) yang terjadi disebabkan oleh biasan cahaya Umbra oleh atmosfera bumi di ketika kedudukan bulan sejajar dengan bumi dan matahari.

SubhanaLlah. Allahuakbar. 

Demikianlah sekelumit daripada tanda-tanda kekuasaan ALLAH SWT yang ditunjukkanNYA. Sebagai hamba ALLAH di sebalik kita melahirkan rasa kagum, sewajarnya kita lebih mendekatkan diri kepadaNYA, antaranya mengerjakan solat sunat khusuf (gerhana bulan) secara berjemaah.
Solat 2 rakaat 1 salam - setiap rakaat dilakukan 2 kali rukuk dengan 2 kali bacaan Al-Fatihah dan surah, menjadikan kesemuanya 4 kali rukuk, 4 kali bacaan Al-Fatihah berserta surah dan ditamatkan dengan sekali salam. Diikuti selepasnya dengan khutbah ringkas sebagai muhasabah diri.
Malam tadi, sejurus selesai solat fardhu Maghrib, masjid di kariah kami telah melaksanakan solat sunat ini. Bagi anakanda Imran yang berusia 10 tahun, ianya sesuatu yang amat teruja untuk dilakukan. Apatah lagi ustaz di sekolah agama @ KAFA telah menyatakan tatacaranya. Suatu pengalaman yang amat berguna untuknya. Ilmu yang diterima dapat dipraktikkan.
 
Dengan bermacam jenis fenomena alam yang melibatkan pelbagai ciptaan ALLAH di alam angkasa yang luas terbentang, sewajarnya dapat menarik minat kita untuk melakukan pemerhatian dan pengkajian ke atasnya.  Jika tidak mampu, bacalah pelbagai artikel dan komentar mengenainya. Dan minat dan usaha ini sebaiknya diterapkan sama kepada anak-anak sebagai aktiviti percambahan ilmu.


Kini banyak tempat-tempat tertentu mengadakan cerapan cakerawala secara terbuka dengan memberi peluang orang-orang awam untuk turut sama merasai pengalaman serta menimba ilmu astronomi/ falak daripadanya.

Lazimnya, di setiap negeri ada pusat cerapan masing-masing yang biasanya melakukan cerapan anak bulan bagi menentukan awal Ramadhan/ Syawal/ Muharam/ Wukuf... Cuba-cubalah bertanya. Insya ALLAH moga jawabannya positif.

Sunday, October 5, 2014

Salam Eid Adha

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
LaaillahaillaLlahuwaLlahu Akbar
Allahu Akbar waliLlahilhamd.

Salam Eid Adha kepada semua.

Bagi orang Melayu, Eid Adha sinonim dengan panggilan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji, merujuk kepada ibadah penyembelihan lembu/ kambing dan gerak kerja ibadah haji oleh para jemaaah haji di Makkah.

Saya tertarik dengan isi khutbah solat sunat Eid Adha yang disampaikan oleh khatib, katanya:

"Ibadah korban bukan sekadar menyembelih binatang ternak serta mengingati sejarah penyembelihan Nabi Ismail a.s. oleh bapanya Nabi Ibrahim a.s. tetapi intinya adalah ketaatan sebenar seorang hamba kepada setiap perintah ALLAH SWT tanpa mempersoalkan kewajarannya".

Begitulah juga kita. Sebagai seorang Muslim dan Mukmin sejati, usahlah dipertikaikan apa sahaja suruhan ALLAH SWT. Lakukan penuh ikhlas dan rasa taat kepadaNYA.  

Demikian juga dengan perintah untuk menunaikan ibadah haji. Bagi yang telah selesai, AlhamduliLLah. Bagi yang belum, usahakan agar ianya menjadi satu kerinduan dan impian yang sentiasa dipupuk dengan harapan agar dapat dikerjakan dengan kadar segera. Jika belum mendaftar, janganlah dilengahkan. Soal lambat atau cepat adalah urusan ALLAH SWT. Yakinlah padaNYA. Tiada mustahilnya jika ada kemahuan dan keazaman yang jitu. Sentiasalah bermunajat kepadaNYA.

Moga kita dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.

Wednesday, October 1, 2014

Hari Wukuf - Puasa Sunat Arafah

Saban tahun, beberapa hari sebelum tibanya bulan Zulhijjah, maka kerajaan Arab Saudi akan melakukan cerapan hilal bagi menentukan permulaan bulan Zulhijjah. Sekaligus menetapkan bilakah Hari Wukuf (09 Zulhijjah) di mana para jemaah haji diwajibkan berada di bumi Arafah walaupun seketika bermula pada waktu zohornya hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Ianya adalah rukun haji, setelah berniat haji.

Bagai yang diketahui umum, Hari Wukuf pada tahun ini di Arab Saudi jatuh pada hari Jumaat yang dianggap sebagai haji akbar (haji besar). Allahu Akbar... bertuah sekali para jemaah pada tahun ini. Itulah kurniaan Illahi yang sewajarnya disyukuri. Walaupun banyak pendapat berkaitan pengertiaan haji akbar ini tetapi kebanyakannya menerima apabila wukufnya pada hari Jumaat, maka ianya dikatakan haji akbar.

Berkaitan dengan Hari Wukuf ini, terdapat penetapan hari berlainan antara Malaysia dan Arab Saudi. Dengan waktu Malaysia lebih awal 5 jam berbanding Arab Saudi dan kedudukan kawasan yang berbeza, penentuan Hari Wukuf juga berbeza. Setelah dilakukan cerapan hilal di tanah air kita (dan sekitar negara-negara Asia Tenggara), ditetapkan 09 Zulhijjah jatuh pada hari Sabtu, bukannya Jumaat seperti di Arab Saudi. Dan Eid Adha pula pada hari Ahad (05/10/2014). Usahlah dikisahkan perbezaan tersebut. Demikianlah ketentuan Illahi.

Bagi yang bukan jemaah haji, mereka amat digalakkan untuk berpuasa sunat pada hari tersebut. Ianya juga dikenali sebagai Puasa Sunat Arafah. Malah kita juga turut disarankan untuk memperbanyakkan amalan sunat lain seperti zikir, munajat, baca Quran, sedekah dan sebagainya.

Inshaa ALLAH marilah kita bersama-sama melaksanakannya. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah kita persiakan. Jika ALLAH dan RasuluLLAH memberatkannya, pasti ganjaran pahalanya amat banyak sekali. Itulah sebahagian daripada bekalan kita untuk dipersembahkan kepada ALLAH SWT nanti.

Ya ALLAH, terimalah setiap amalan kami dengan rahmat dan redhaMU. Ameen.