Friday, April 19, 2013

PRU : Kempen Tanpa Sengketa

Cuba bayangkan kehidupan anda kiranya berlaku persengketaan di kalangan ahli keluarga. Suami bergaduh dengan isteri. Anak-anak bertelingkah dengan ibu bapa. Adik beradik bercakaran sesama sendiri. Saudara mara pula saling bermasam muka. Semuanya nak menang dan tidak mahu mengalah.

Akhirnya timbul fitnah memfitnah, ugut mengugut, cerca mencerca, umpat mengumpat dan bermacam lagi permainan kotor. Hinggakan sesuatu yang jijik, lucah dan tidak bermoral sanggup dijadikan senjata, asalkan hati puas.

Natijahnya hubungan kekeluarga menjadi keruh, berpuak-puak dan berpecah belah. Tiada lagi keharmonian dan kedamaian dalam keluarga.

Demikianlah juga mainan politik orang-orang politik di Malaysia sekarang ini. Lihat sahaja laporan-laporan berita di media massa. Langsung tiada kematangan dalam berpolitik. 

Peribadi seseorang diaibkan tanpa batasan, sensitiviti perkauman dan keagamaan dikobar-kobarkan, agenda keselamatan negara dipermainkan dan para pengundi ditakut-takutkan. Segalanya bagaikan menjadi halal demi undi yang diharapkan.

Hilang sudah nilai-nilai murni yang ditanam di jiwa sejak kecil dahulu. Apatah lagi bagi seorang insan Muslim yang mengaku mukmin. Larangan ALLAH SWT dan RasuluLLAH SAW ditolak ketepi seolah-olah tidak pernah tahu akan perintah dan tegahanNYA.

Perlu diingat bahawa setiap perlakuan hambaNYA pasti akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Lebih-lebih lagi ianya satu AMANAH. Apakah kita merasa amat hebat dan kebal untuk mengelak segalanya itu?

Setiap kali PRU, kami sentiasa mengimpikan suasana yang ceria dan menyeronokkan. Setiap parti berpeluang membentangkan manifesto dan akujanji dengan peluang yang sama terutama di media elektronik dan media cetak. Perdebatan sesama calon menjadi medan sihat mengutarakan gagasan parti masing-masing. Selebihnya terserahlah kepada para pengundi membuat pilihan mereka sendiri.

Bak kata bijak pandai, ibarat menari di lantai yang sama rata. Barulah rentak dan irama beriringan.

Itulah yang pernah kami alami ketika musim PRU di Australia pada tahun 2010 dahulu. Malah setiap calon bebas berkempen sehinggakan ke premis-premis kerajaan dan juga tempat-tempat awam. Jentera kerajaan tersimpam kemas tanpa diusik sehinggalah terbentuk kerajaan memerintah selepasnya.

Alangkah indahnya dunia politik kiranya ia terlaksana di negara Malaysia nan tercinta ini. Apatah lagi jika disaluti dengan nilai-nilai islami.

Justeru itu, diharapkan kepada para calon, ahli dan penyokong setiap parti politik, suburkanlah kematangan dalam berpolitik, berhemah dalam berhujah dan elakkan persengketaan dalam pertarungan. Kekalkan keharmonian dan kedamaian dalam negara. Sedarlah kita adalah bersaudara. Negara ini adalah negara kita bersama.

Kepada para pengundi, turunlah mengundi seawal mungkin. Laksanakan hak anda dengan bebas demi masa depan yang lebih baik. Buatlah pilihan secara bijak kerana kita juga akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak atas pilihan yang kita lakukan.

Selamat Mengundi.

Friday, April 12, 2013

Catuan Air

Sejak semalam kami di Hulu Kelang dan kawasan sekitarnya berdepan dengan gangguan bekalan air. Tiba-tiba sahaja paip tiada air. Hairan juga apa sebabnya. Takkanlah dekat-dekat pilihanraya umum pun air buat hal? Langsung tiada notis gangguan yang diterima atau disebarkan.

Kredit Foto: Kosmo
Rupa-rupanya paip besar berukur lilit 2,000 mm  di tebing sungai Kg Melayu, Batu Caves yang membawa air dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju pecah. Puncanya tebing sungai tersebut runtuh dilanda hujan lebat pada hari berkenaan.

Diberitakan, gangguan air yang melibatkan lebih setengah juta penduduk ini mungkin berlarutan sehingga 5 hari walaupun kerja-kerja baik pulih dapat disiapkan dalam masa 2 hari. 

Moga-moga segalanya pulih dengan kadar segera. Sabar sahajalah. Dugaan.

Syukurlah di rumah kami terdapat beberapa tangki. Bolehlah bertahan untuk beberapa jam sebelum ianya kering. Akhirnya satu tangki sahaja yang tinggal, itupun yang terdapat di bilik air bilik tidur kami. Itulah yang kami kongsi sehingga ke hari ini terutama untuk qadha hajat dan berwuduk. Entah bila gilirannya akan kering.

Aduhai.... untuk menyelamatkan keadaan kenalah kami balik ke rumah di Saujana Puchong. Malam tadi kami bermalam di sana. Begitu juga malam ini. Hujung minggu, Insya Allah rutin kami sememangnya berada di Saujana Puchong. 

Lega kerana dapat mandi, bersuci dan membasuh pakaian. Kasihan pada mereka yang terpaksa mencatu penggunaan air - kurangkan mandi, elakkan membasuh dan bermacam cara lagi, asalkan air sentiasa ada.

AlhamduliLLah, ada lori tangki SYABAS datang menghantar air di sekitar penempatan kami di Hulu Kelang. Dapatlah digunakan untuk keperluan mendesak. Peliknya ada kawasan perumahan yang tidak mendapat bekalan air berkeanaan. Entah macam mereka menghadapinya.

Kami yakin, di sebalik setiap kesulitan pasti ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kami belajar berjimat dan menghargai air. Ada manafaatnya ada rumah di Puchong yang tidak termasuk di lingkungan krisis air Gombak. 

Syukur AlhamduliLlah atas setiap kurniaan dan anugerah daripadaNYA.

Thursday, April 11, 2013

Teruja di Kuala Kangsar

Di pertengahan minggu lepas (Khamis dan Jumaat) kami berdua ke Perak. Laili ada urusan kerja di Kuala Kangsar, Ipoh dan Tanjung Malim. Saya sekadar menemankannya. Jika tidak terpaksalah Laili pergi bersendirian. Sesuatu yang tidak manis bagi seorang wanita. Tidak kisahlah, jadi pemandu pun tidak mengapa. Asalkan segalanya selamat.

Jam Besar Kuala Kangsar
2 malam kami menginap di Ritz Garden Hotel yang terletak di Jalan Yang Kalsom, Ipoh. Kami tiba di Ipoh tika matahari mulai terbenam. Tanpa panduan jalan yang jelas (tiada peta dan GPS), hampir sejam kami berpusing-pusing di tengah Bandaraya Ipoh. Akhirnya ketemu juga setelah berhubung dengan pihak hotel.

Pengajarannya, lain kali jangan pakai redah sahaja, lebih-lebih lagi tempat yang asing. Sekurang-kurangnya dapatkan petunjuk arah dari Google Maps.

Pagi Khamis, kami bergerak ke Padang Rengas, Kuala Kangsar yang terletak kira-kira 50 km dari Ritz Garden Hotel. Seharian Laili ada temu janji di Klinik Kesihatan Padang Rengas. Ruang masa yang ada, saya bergerak ke Bandar Diraja Kuala Kangsar. Hanya 10 km jaraknya, sekitar 10-15 minit pemanduan sedar-sedar telah pun tiba di bulatan jam besar. Salah satu monumen sejarah yang masih teguh berdiri. Harap-harap ianya akan terus di situ.

Hati saya merasa amat teruja sekali. Setelah lebih 25 tahun meninggalkan Bandar Kuala Kangsar, kini saya berkesempatan kembali ke bumi bertuah ini. Ianya sebuah bandar yang meninggalkan nostalgia suka duka bagi diri saya sendiri. Dahulu saya pernah bersekolah di bandar ini. Walaupun telah lama berlalu, namun masih banyak tinggalan sejarah yang tetap dikekalkan. Eloklah begitu kerana nilaian ilmunya amat berharga dan tiada gantinya sebagai khazanah warisan untuk generasi b
aru.

Masjid Ubudiah, Bukit Chandan
Melewati bulatan jam, seimbas lalu, didapati deretan kedai di Arkeb MARA telah pun bertukar kepada Dataran Putra. Manakala kedai-kedai lama di sebelah kiri bulatan masih lagi kekal seperti dahulu. Gerai-gerai cenderamata di tepian Sungai Kangsar pula telah berganti laluan pejalan kaki. Gerai-gerai tersebut masih wujud, cuma dipindahkan ke sebelah medan selera.

Perjalanan saya diteruskan ke arah Bukit Chandan di mana tersergam indah Masjid Ubudiah yang amat unik lagi menarik senibinanya. Bersebelahan masjid pula adalah Makam Diraja. Hampir sejam saya berada di masjid ini sambil merakam puluhan fotonya. SubhanaLlah. Dahulu saya tidak berkesempatan berlamaan di sini kerana kekangan masa yang terhad.

Muzium Diraja Perak
Rayauan saya seterusnya mengelilingi Istana Iskandariah yang terletak di puncak bukit. Sukar untuk mendapat rakaman foto keseluruhan istana kerana dilindungi pepohonan menghijau di sekitarnya.

Saya menyinggah di Istana Kenangan yang kini menjadi Muzium Diraja. Malangnya ia ditutup. Ramai pelancong luar negara yang mendatanginya. Kasihan mereka kerana tidak dapat memasukinya. Difahamkan ianya telah sekian lama ditutup untuk kerja-kerja baikpulih, namun sehingga sekarang belum pasti bila akan dibuka kembali.

Menghampiri waktu Zohor, saya berhenti rehat di Masjid Al-Ridzwaniah yang terletak bersebelahan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah menengah elit zaman penjajah yang telah pun menjadi sekolah berasrama penuh umum. Masjid inilah yang sentiasa menjadi tempat solat saya ketika berada di Kuala Kangsar dan MCKK itulah sekolah saya dahulu.

Deretan Asrama Kolej Melayu Kuala Kangsar

Dari luar pagar sekolah, bangunan putih dengan senibina pseudo-Roman yang dibina pada tahun 1909 dikenali sebagai Big School menjadi mercu tanda bagi MCKK. Di sampingnya adalah Prep School yang dibina 3 tahun selepasnya. Pokok besar di sebelahnya tiada lagi. Khabarnya, ianya terpaksa ditebang kerana menimbulkan bahaya kepada para pelajar. Bangunan pentadbiran dan sekolah pula terletak di seberang jalan yang tidak berapa sibuk.


Rotunda
Persekitaran masjid/MCKK tidak banyak berubah. Cuma bangunan Dewan Merdeka telah pun dirobohkan meninggalkan tapak kosong. Bersebelahannya masih berdiri megah rotunda dan berhadapan masjid pula telah dibina Dewan Jubli Perak sebagai ganti kepada Dewan Merdeka.

Sistem jalanrayanya pula lebih kemas berbanding dahulu, seiring dengan pertambahan kenderaan. Sekolah Menengah Clifford, pencabar utama MCKK masih megah di tapaknya dengan bahagian padangnya masih dibatasi jalanraya yang lebih lebar daripada dahulu.

Di sebelah petang, selepas Laili habis kerjanya di KK Padang Rengas, sekali lagi saya ke Bandar Kuala Kangsar. Kali ini bersama Laili. Baginya, inilah pertama kali beliau tiba di bandar ini walaupun suatu ketika dahulu pernah bertugas di Hospital Teluk Intan dan beberapa kali berurusan di Ipoh dan sekitarnya.

3 Sekawan Bersua di Kuala
Lebih teruja lagi bagi Laili apabila dapat bersua muka dengan rakan-rakan sepengajian master-nya di UKM dahulu yang kini bertugas di KK Padang Rengas, Dr. Norhayati dan juga Dr. Sofea di Hospital Lenggong. Kami singgah makan-makan ringan di Medan Cendol dan Laksa, di pinggiran Sungai Kangsar.

Sedih hati apabila terpaksa berundur meninggalkan Bandar Kuala Kangsar. Imbasan kenangan masa lalu terasa baru sahaja mekar di ingatan. Pasrahlah, insya Allah kami berazam akan datang lagi. Kali ini datang bercuti bersama ahli keluarga bukannya datang bekerja.

Masih banyak tempat menarik dan lokasi yang belum diterokai, antaranya Pesisiran Sayong, Galeri Sultan Azlan Shah, Muzium Diraja dan gerai-gerai cenderamata.

Pagi Jumaat, Laili ada urusan kerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Saya tidak ke mana-mana, hanya melayari internet di bilik hotel. Petangnya Laili berurusan pula di Klinik Kesihatan Tanjung Malim. Saya pun tidak ke mana-mana. Menunggu Laili di kereta sahaja sehingga tamat urusannya sekitar jam 5:00 petang sebelum beredar pulang ke Ulu Kelang.

Wednesday, April 10, 2013

Imran Kini 9 Tahun

Setiap detik masa berlalu menandakan peningkatan dalam usia berserta bertambah kematangan diri seseorang. Persekitaran harian yang sering berubah-ubah tanpa disedari turut sama merubah cara berfikir, cara berkomunikasi dan cara hidup seseorang. Perkembangan ini amat jelas jika diperhatikan kepada kanak-kanak.

Inilah yang turut berlaku kepada anak bongsu kami, Muhammad Imran. Hari ini usianya menginjak setahun lagi kepada 9 tahun. Dalam usia tersebut, telah banyak perubahan diri yang berlaku padanya. Tanpa disedari kematangannya dalam berfikir dan berbicara semakin meningkat. Adakalanya sesuatu yang tidak disangka-sangka terluah dari mulutnya. 

Kami akui, di peringkat usia seumpamanya, didikan dan perhatian sewajarnya harus diberikan. Jika tidak banyak unsur-unsur yang tidak sihat boleh melekat pada mindanya. AlhamduliLlah, sehingga kini segalanya baik-baik belaka. 

Kami doakan moga Imran sentiasa berada di bawah keredhaan Illahi dan sentiasa dilingkungi rahmat ALLAH SWT, seterusnya beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Ameen.