Tuesday, June 26, 2012

Pusat Sains Negara

Hari Sabtu baru-baru ini, seusai urusan di tengah Bandaraya Kuala Lumpur, kami sekeluarga terus ke Pusat Sains Negara (PSN) di Bukit Kiara. Satu perjalanan yang 'menyeksakan' - hampir sejam kami terkial-kial di jalan mencari tanda arah yang mengelirukan pandangan sehingga beberapa kali tersilap laluan. Itulah KL yang sering kami elakkan.

Bangunan PSN berwarna hijau yang berbentuk separa kon dengan kubah di atasnya megah tercacak di atas bukit, dikelilingi pepohonan menghijau di sekitarnya. Sejuk mata memandang. Terhibur jiwa yang 'terseksa'.

Di PSN, tarikan utama anak-anak adalah pameran utamanya, "Dinosaurs Live!" yang bermula 1 Mei lalu sehingga 31 Julai ini. Tiketnya mahal sedikit; dewasa RM15, warga emas RM6, kanak-kanak RM6 - RM12 dan pelajar dengan kad pelajar RM12. Untuk pakej keluarga terdapat pilihan samada RM42 atau RM36. Bersama 3 orang anak, bayaran untuk kami : RM54.

Tanpa memasuki Dinosaurs Live!, harga tiketnya murah sahaja, RM6 bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Tepuk dada tanya hati, mana nak pergi.

Menjejakkan kaki masuk ke ruang pameran, kami disambut puluhan ikan-ikan besar (spesies air tawar) yang ditempatkan di dalam akuarium terowong sepanjang 8 meter. Barangsiapa yang melaluinya pasti terhenti sambil mendongak kepala ke atas, kiri dan kanan. Berhampiran pintu masuk juga terdapat akuarium-akuarium kecil dengan pelbagai ikan dan tumbuhan akuatik berwarna-warni. Terpesona dengan keindahan dan keunikannya.

Di ruang legar utama, kami disambut pula oleh rangka dinosaurs yang amat besar dan tinggi. Bersebelahannya pula adalah 3 dinosaurs saiz biasa yang boleh ditunggangi dan diambil foto, dengan syarat telah pun dibayar RM3 ketika membeli tiket. Apa lagi, Imran dan Solehahlah yang menjadi modelnya.

Koleksi sebahagian foto dapat diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.

Seterusnya kami ke ruang pameran dinosaurs di Tingkat 1. Suasananya kelam dengan disinari lampu-lampu merah, hijau dan biru bagi memberi impak betapa besar dan nyatanya haiwan prasejarah tersebut. Sesekali kami dikejutkan dengan beberapa ngauman kuat berserta gerakan kepala, ekor, kerlipan mata dan jeliran lidah dinosaurs, seolah-olah ianya hidup. Itulah sistem animatronik namanya, hasil gabungan kejuruteraan mekatronik.

Bermacam jenis replika dinosaurs dipamerkan; antaranya T-Rex, spinosaurus, ornitholestes, deinosuchus, dimetrodon, parasaurolophus, protoceratops, ankylosaurus dan banyak lagi. Difahamkan 30 replika dinosaurs yang diperbuat daripada silikon lembut dihimpunkan untuk tontonan pengunjung. Terpegun kami melihatnya.

Terdetik di sanubari, betapa besarnya kekuasaan Illahi, walaupun telah puluhan dan ratusan juta tahun pupus tetapi dengan sekelumit ilmu yang dianugerahiNya menjadikan ianya seolah-olah hidup kembali. SubhanaLlah!

Umumnya, di samping pameran istimewa dinosaurs, terdapat lebih 1000 exhibit dalam 12 galeri sains dan teknologi (pelbagai tema) yang dipersembahkan secara tidak formal yang boleh dicuba dan dipelajari. Penerangan asas akan sebab dan penyebab sesuatu kejadian dapat membantu para pengunjung memahami konsep sains di dalamnya. Segalanya berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

Separuh hari kami bergerak dari satu exhibit ke satu exhibit. Anak-anak begitu seronok dan teruja sekali. Hampir setiap exhibit akan dicuba dan diperhati penuh minat setiap kejadian yang berlaku. Sedaya mungkin kami cuba menerangkannya sambil turut sama mempelajarinya.

Sebetulnya, bukan anak-anak sahaja yang tidak mengetahui tetapi kita orang dewasa pun sewajarnya mengakui kecetekan ilmu sendiri. Demikianlah Allah SWT mengibaratkan ilmu manusia seumpama titisan air di hujung jari yang dicelup ke lautan nan luas dan dalam (ilmu Allah). Allahu akbar!

Dari pemerhatian kami, kehadiran pengunjung amat menggalakkan terutama di kalangan pelajar sekolah, remaja dan ibu bapa bersama anak-anak. Cuma perlu ada tindakan susulan agar ianya bukan sekadar permainan semata-mata tetapi perlu ada pengisian, pengajaran dan pengetahuan yang dapat diceduk.

Ketika di Australia dahulu, kami pernah kunjungi beberapa pusat sains seumpamanya seperti di Melbourne City, Phillips Island dan Bendigo.

Kami merasa amat gembira kerana ianya terdapat juga di tanah air sendiri. Amat baik sekali kiranya pusat seumpamanya turut dibina di setiap negeri agar dapat menarik minat dan memahamkan masyarakat Malaysia kepada sains dan teknologi. Sekaligus dapat menghilangkan rasa takut dan curiga terhadap sains.

Tidak rugi kami ke Pusat Sains Negara. Penatnya amat terasa tetapi kepuasan adalah ganjarannya. Masih banyak lagi exhibit yang tidak sempat kami cuba dan bermain dengannya. Insya Allah di lain ketika kami menyinggah lagi.

Monday, June 25, 2012

Ceramah Prof Kamil di as-Sobirin

AlhamduliLlah malam tadi saya berkesempatan duduk bersama khalayak jemaah Masjid as-Sobirin, AU5C yang begitu ramai - dianggarkan lebih 600 orang yang hadir - semata-mata menadah telinga dan hati, mendengar luahan harapan dan pesanan daripada Tuan Haji Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim.

Bagi yang sering mengikuti coretan beliau di blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan dan juga di FB serta membaca buku-buku Travelog Haji, Travelog Dakwah, 50 Tip Motivasi Haji dan yang terbaru Bersyukur Saat Diuji, rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi siapa dirinya.

Beliau telah berhijrah ke Madinah kira-kira 10 bulan lalu dan kini sedang bercuti musim panas di tanah air.

Sesi ceramah malam tadi berlangsung secara santai. Input dakwah yang disampaikan amat mudah - mengajak seluruh umat Islam berusaha menjadi hambaNya yang sedikit, yakni memasuki syurga tanpa dihisab. Kaedahnya, ikutilah sunnah RasuluLlah SAW, antaranya :

- Amalkan solat 5 waktu berjemaah di masjid dengan disertai anak-anak.
- Lazimkan diri bangun bersolat malam di sepertiga akhir malam.
- Biasakan diri dengan puasa sunat, sebaiknya puasa Nabi Daud a.s. selang sehari.
- Jagailah aurat terutama bagi wanita dan anak-anak perempuan.
- Berdoa dan meminta hanya pada Allah SWT dengan sepenuh hati dan perasaan.

Inilah yang sentiasa diluahkan secara berulang kali oleh Prof Kamil pada setiap sesi ceramahnya, juga di blog dan FB. Inilah juga harapan beliau. Kisah kelalaian masa lalu setelah disedarkan oleh Allah SWT menjadi inspirasi utama beliau dalam mengajak saudara seIslam lain untuk turut berubah dan meningkatkan diri menjadi hambaNya yang dikasihi.

Dengan cara penyampaian 'bicara dari hati ke hati' membuatkan ia terkesan di hati. Setiap teguran, pertanyaan dan ajakan dirasakan bagaikan suatu motivasi ke arah perubahan diri yang lebih baik. Itulah sebenarnya yang diingini oleh setiap hati.

Moga usaha ikhlas Tuan Haji Prof ini akan sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT dalam rahmat dan redhaNya. Dan kita semua mendapat manafaat daripadanya sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat. Ameen Ya Rabbal 'alameen.

AlhamduliLlah, seusai solat sunat saya berpeluang bertemu mata dengan Tuan Haji Prof Kamil dan Puan Hajjah Roza sambil meminta jasa baik mereka menitipkan nota nasihat bertandatangan pada buku terbaru mereka; Bersyukur Saat Diuji dan Bukan Sekadar Resepi. Terima kasih Prof dan Roza.

Wednesday, June 20, 2012

Euro2012 > Bangun Malam

Sekarang adalah musim Euro2012. Bermula 9 Jun lalu dan akan berakhir 2 Julai nanti.

Bagi kaki bola dan yang ambil tahu pasal bola, bila disebut Euro2012, fahamlah mereka apa ke bendanya. Inilah yang ditunggu-tunggu mereka 4 tahun sekali, berselang 2 tahun daripada Piala Dunia.

Walaupun Euro2012 ini hanya melibatkan negara-negara Eropah tetapi auranya menyelinap hampir ke seluruh dunia. Apakan tidak, di sinilah berkumpulnya jagoan bola sepak dunia dengan gaya, kemahiran dan strategi (style, skill and strategy) permainan yang memikat hati. Itu kata kaki bola @ hantu bola.

Entahlah, saya bukannya kaki bola cuma suka tengok bola masuk gol. Apatah lagi jika permainannya menghiburkan. Pasukan mana yang score atau menang saya tidak kisah. Jadi, cukuplah sekadar menonton siaran berita atau sukan pada keesokan harinya.

Hampir keseluruhan perlawanan Euro2012 ini berlangsung sekitar jam 2:45 pagi. Prime time tidur - waktu sedang enak beradu sambil diulit mimpi-mimpi indah. Bagi kaki bola, tiada kisahnya bagi mereka. Malah jika berterusan semalaman sehingga ke pagi pun mereka masih sanggup bersengkang mata. Segala-galanya kerana bola.

Secara peribadi, saya merasa amat cemburu melihat kesungguhan bangun malam para kaki bola ini. Seringkali terfikir, alangkah bertuahnya mereka kerana dianugerahi semangat juang melawan mengantuk yang begitu tinggi.

Kiranya turut sama disekalikan dengan ibadah malam, lagilah beruntungnya mereka. Cukuplah sekitar setengah jam sebelum/ selepas perlawanan bermunajat kepadaNya sebagai tanda syukur atas segala limpah kurniaNya.

Alangkah baiknya jika amalan bangun malam ini diteruskan selepas musim Euro2012, menjadi satu tabiat yang sebati dalam diri.

Dengan kata lain, aktiviti bangun malam kerana bola menjadi latihan untuk bangun malam untuk berqiamullail. Persediaan yang amat bermakna menjelang tibanya Ramadhan al-Mubarak, bulan ibadah yang tiada tandingnya.

RasuluLlah SAW bersabda,"Solat yang paling utama selepas solat fardhu adalah solat malam (tahajud)" - (HR Muslim).

Sabda RasuluLlah SAW lagi,"Hendaklah kamu bangun melakukan ibadah pada waktu malam kerana ini adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu sebagai jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Allah, penghapus dosa, pencegah kejahatan dan menolak penyakit dari jasad" - (HR Tarmizi dan Tabrani).

Dalam hal bangun malam ini, diakui diri ini sentiasa tewas dengan bujukan enaknya tidur. Keinginannya kuat, malangnya kerap bertangguh apabila terjaga, sehinggalah waktu tahajudnya telah hampir di penghujung. Lazimnya begitu.

Itulah sebabnya dikatakan saya amat cemburu kepada kaki bola yang cepat sekali bingkas bangun apabila waktu bersiaran Euro2012 hampir tiba. Jika saya dapat bangun malam seumpamanya, alangkah beruntungnya diri ini.

Moga-moga kita semua dipermudahkan oleh Allah SWT dalam usaha mendekatkan diri kepadaNya. Ameen.

Sunday, June 17, 2012

Aura Israk-Mikraj

27 Rejab - Israk dan Mikraj. Untuk tahun ini, hari ini adalah harinya. Ianya termetrai dalam sirah RasuluLlah SAW sebagai anugerah Illahi bagi memperkukuhkan keimanan baginda kepada Allah SWT atas tentangan amat dahsyat dari kafir Quraisy.

Israk dan Mikraj ini bukan hanya untuk RasuluLlah SAW tetapi sebenarnya untuk umat baginda. Bukan sekadar untuk diingati dan diraikan tika tiba tarikhnya. Selagi nadi berdenyut, maka ianya perlu diambil pengiktibaran berterusan bagi meneruskan kehidupan di dunia ini.

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Isra':1)

Apabila disebut israk dan mikraj, maka akan terlintas di fikiran akan perjalanan roh dan jasad RasuluLlah SAW mengenderai Buraq dengan diiringi malaikat Jibrail a.s. dalam 2 fasa. Fasa pertama dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis, Palestine. Manakala fasa kedua pula dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha, melewati 7 lapisan langit bertemu Allah SWT sebelum kembali ke Mekah.

Sesuatu yang tidak masuk diakal - segalanya berlaku dalam satu malam sahaja. Sedangkan di zaman itu, perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis sahaja mengambil masa 40 hari. Apatah lagi untuk naik ke langit. Mustahil pada akal manusia tetapi tidak pada iradat Allah SWT.

Di sepanjang perjalanan yang amat menakjubkan ini, RasuluLlah SAW melalui pelbagai peringkat dan peristiwa yang memberi impak yang tiada taranya dalam kehidupan kita semua sebagai umat Muhammad SAW dan hamba Allah SWT. Ianya benar-benar menguji keimanan kita kepada al-Khaliq.

Sekurang-kurangnya 3 perkara yang lekat di sanubari. Pertamanya betapa agungnya kuasa Allah SWT yang dapat menjalankan manusia dalam waktu yang begitu singkat, apatah lagi melewati lapisan langit sambil dipertemukan dengan beberapa orang Rasul/Nabi tanpa peralatan pernafasan.

Keduanya perintah solat secara terus dari Allah SWT - rahmat Allah, solat 50 waktu dipendekkan kepada 5 waktu sahaja. Itupun masih ramai yang tidak mampu melaksanakannya.

Ketiganya diperlihatkan oleh Allah SWT batasan seksaan pedih para ahli neraka akibat durhakanya ketika di dunia dan juga keseronokan hidup di syurga. Sewajibnya setiap insan yang mengaku Muslim mengambil iktibar dan berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa (melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).

Namun disebalik Israk dan Mikraj ini, persoalan sejagat yang amat getir kini adalah hilangnya kekuasaan umat Islam ke atas Masjidil Aqsa serta Baitul Maqdis itu sendiri. Perlu dimaklumi, Masjidil Aqsa seumpama Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah antara 3 warisan pusaka untuk dijagai oleh umat Islam.

Justeru itu, marilah kita menyokong sedaya upaya kita setiap langkah yang diambil untuk membebaskan Masjidil Aqsa ini serta bumi Palestine dari jajahan Zionis Israel laknatuLlah. Moga dengannya umat Islam dikurniakan kemenangan dan kita tidak dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar apakah usaha kita dalam membebaskan Masjidil Aqsa.

Diharapkan kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa dirahmati dan sedar akan hakikat kejadian kita dijadikan. Ameen.

"Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan agar beribadat (tunduk patuh) kepadaKu". (Surah az-Zaaria'at:56)

Friday, June 8, 2012

Ukhuwah Adik Beradik

Cuti sekolah Semester 1/2012 telah pun hampir ke penghujungnya. Jarak waktu 2 minggu terpisah dalam 2 suasana berbeza.

Minggu pertama, anak-anak sibuk dengan aktiviti kem, kelas tambahan, pulang bercuti ke rumah tok ayah di Terengganu dan menyibukkan diri di majlis perkahwinan saudara di kampung datuk-nenek di Bukit Bangkong, Selangor.

Minggu kedua mereka lebih banyak masa di rumah - berehat, bermain, membaca, menonton, melayari internet serta menyiapkan kerja sekolah yang dibekalkan guru.

Seronok apabila melihat kemesraan yang terjalin sesama adik beradik. Apatah lagi bersama si abang yang tinggal di asrama ketika musim persekolahan. Inilah masanya untuk bermanja dan mempereratkan silaturrahim serta tautan rasa kasih dan sayang.

Kami sentiasa mengingatkan mereka, "Sayangilah sesama adik beradik. Ditakdirkan ditimpa kesusahan, maka adik beradiklah yang sentiasa berlapang dada dan ikhlas membantu. Orang lain belum tentu lagi".

Harapan kami, ibu dan ayah : moga kemesraan yang sedia terjalin akan terus kekal selamanya, saling hormat menghormati dalam ikatan ukhuwah Islamiah yang tulen. Ameen... ameen... ameen ya Rabbal 'alameen.