Wednesday, March 21, 2012

Doa Selamat Untuk Airis

Perkembangan Terbaru (27/03/2012):
AlhamduliLlah, segalanya dipermudahkan Allah SWT. Sehari Airis ditempatkan di ICU untuk tujuan pengawasan, keesokan harinya si comel telah dipindahkan ke wad biasa.
Ketika menjenguk Airis pada hujung minggu lalu, wajahnya tampak begitu ceria. Sesekali diacah, ia tersenyum lebar. Cuma apabila menangis, suaranya serak dan seakan tenggelam. Difahamkan kesan dari ubat bius yang masih belum hilang sepenuhnya.
Kini Airis masih di sana. Jika tiada aral (moga-moga...ameen), Insya Allah esok hari Airis akan dibenarkan pulang ke rumah. Kami menanti kepulanganmu... semuanya tidak sabar mendengar suara tawa Airis.
-----------------------------------% % % % % -----------------------------------

Airis An-Nisa, nama indah milik insan comel berusia 7 bulan. Bukan orang lain dalam keluarga kami. Ianya anak saudara sebelah Laili @ sepupu kepada anak-anak kami. Permata hati kedua bagi pasangan Bakhtiar-Suraya.

Pagi ini Airis menjalani pembedahan jantung berlubang (PDA Occlusion) di Institut Jantung Negara (IJN). Didoakan moga segalanya dipermudahkan, selamat dan dikurniakan kesembuhan segera. Moga dengannya Airis menjadi lebih sihat dan membesar penuh keceriaan. Ameen.

Mohon kepada rakan-rakan semua untuk turut mendoakan yang terbaik untuk Airis. Terima kasih.

Tuesday, March 6, 2012

14 Tahun

Nur Hanisah adalah anak kedua kami dari empat beradik. Kini di Tingkatan 2.

Pada hari ini, 14 tahun lalu melewati jam 3:00 petang bertempat di Hospital Kuala Lumpur, Hanisah dilahirkan. Selamat Hari Lahir Hanisah.

Didoakan moga Hanisah menjadi mukminah yang solehah. Dikurniakan iman yang sempurna, akhlak yang terpuji, pekerti yang mulia, umur yang bermanafaat, ilmu yang berguna dan hidup yang dirahmati serta diberkati Allah SWT di dunia dan di akhirat. Ameen.

Mengikut perkiraan, Hanisah sepatutnya dilahirkan 2 minggu lebih awal tetapi demikianlah ketentuan Allah SWT. Rupa-rupanya sepupu sebayanya, Ainul Farhah yang terlebih dahulu dilahirkan iaitu pada 27 Feb. Happy Belated Birthday Ainul...8).

Kepada Hanisah dan Ainul, Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran ke-14. Moga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan tercapai setiap apa yang dicita-citakan bersama iringan redha Allah SWT. Ameen.

Diriwayatkan oleh Imam al-Hakim., dari Jabir r.a., bersabda junjungan mulia, RasuluLlah SAW, "Sebaik-baik kamu adalah yang panjang usianya dan baik amalannya".

Friday, March 2, 2012

Lambaian Kaabah

Bagi seorang Muslim, kesempatan menunaikan haji di BaituLlah adalah satu impian yang sentiasa diharapkan. Bermatlamat untuk melengkapkan satu kefardhuan/ kewajiban dari Rukun Islam yang lima. Ianya adalah satu kepuasan yang tidak terhingga sebagai tanda ketaatan seorang hamba Allah SWT yang mampu melaksanakan satu tuntutan yang diperintahkanNya.

Alangkah indahnya jika dapat ke sana. Itulah satu anugerah yang tidak terperi seronoknya. Bagi kami, ianya amat dirindui.

Kami telah pun mendaftarkan diri di Tabung Haji sejak tahun 2006. Sepatutnya kami mendaftar lebih awal lagi tetapi kami alpa dan sering bertangguh.

Jika diturutkan hati, ingin sekali dibuat rayuan untuk mempercepatkan kunjungan kami ke BaituLlah. Namun keadaan tidak mengizinkan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersurat mahupun tersirat. Itulah ketentuanNya.

Ketika memeriksa status permohonan haji pada awal tahun lepas, nama kami berdua tersenarai untuk menunaikan haji pada tahun ini. AlhamduliLlah, beberapa hari lalu surat tawaran dari Tabung Haji telah pun diterima. Seronoknya hati tidak terkira. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT.

Tiba-tiba timbul rasa gementar di hati. Mampukan diri ini melaksanakan tuntutan ini dengan sebaiknya bagai yang diharapkan oleh setiap jemaah haji? Setiap orang mendambakan haji mabrur sedangkan ianya amat sukar diperolehi kecuali bagi hamba-hambaNya yang terpilih.

Ya Allah, permudahkanlah kami di dalam setiap urusan kami. Panjangkanlah usia kami, kurniakanlah kami kesihatan dan kekuatan, perteguhkanlah keimanan kami dan golongkanlah kami di kalangan hambaMu yang mendapat barakah, rahmat dan redhaMu. Anugerahilah akan kami haji yang mabrur. Begitu juga ke atas setiap mukmin dan mukminat. Ameen... ameen... ameen... Ya Rabbal 'alameen.

Insya Allah di penghujung bulan ini, hampir 2 minggu kami sekeluarga akan menunaikan umrah dan ziarah ke 2 tanah suci Haram; Mekah al Mukarramah dan Madinatul Munawwarah.

Semua anak-anak akan turut serta kecuali Izzuddin yang baru mendaftarkan diri di MRSM Serting kerana tidak mendapat perlepasan dari pihak sekolah. Insya Allah di lain kesempatan Iddin berpeluang ke sana. Bersama kami adalah emak dan abah, adik Laili; Nasrul Hadi serta adik-adik perempuan abah.

Moga ibadah umrah ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan dianugerahi dengan umrah mabrur. Sekaligus menjadi pemangkin untuk kesempurnaan ibadah haji selepasnya. Ameen.