Saturday, January 21, 2012

Ke MRSM Serting

"Iddin, bila result masuk MRSM keluar?"

Itulah antara soalan yang sering ditanya oleh kami dan juga mereka yang tahu Izzuddin menduduki ujian kemasukan ke Tingkatan 4 pada akhir tahun baru-baru ini.

"Insya Allah dalam bulan Februari nanti", jawab Izzuddin tanpa pasti tarikh sebenarnya. Demikianlah jawabannya sebelum ini.

Dalam seminggu lalu, Izzuddin memaklumkan keputusannya akan diketahui melalui laman web MARA pada 20 hb.

Setiap hari hati berdebar menunggu tarikh yang dijanjikan. Pada hari berkenaan, pulang sahaja dari sekolah, Izzuddin terus menerpa komputer di meja. Inilah yang terpapar di skrin :-

Insya Allah pada 8/2/2012 nanti, sehari selepas cuti Thaipusam Izzuddin akan memulakan persekolahannya di MRSM Serting, Negeri Sembilan. Mengekori jejak ibunya yang pernah mengikuti pengajian menengah selama 5 tahun di MRSM Kota Bharu.

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran selayaknya untuk Allah SWT. Tahniah Iddin.

Segala usaha kini telah pun tercapai. Setiap doa yang dipanjatkan telah pun dimakbulkanNya. Namun, ianya adalah titik permulaan kepada perjuangan yang lebih besar menanti di hadapan. Bukan sahaja SPM yang menunggu tetapi pancaroba kehidupan sebagai pelajar asrama menanti untuk diraih pengalamannya. Moga berjaya diharungi dengan jayanya. Ameen.

Tuesday, January 17, 2012

Pindah Rumah

Pulang dari Australia setahun lalu, kami sekeluarga tinggal di rumah emak-abah bersebelahan SK Hulu Kelang. Sejak 1-Jan baru-baru ini, kami berpindah rumah; menyewa di AU5, Lembah Keramat, tidak jauh pun dari rumah emak-abah.

Jadi selama itu jugalah kami terputus hubungan internet, lebih-lebih lagi untuk kemaskini blog ini. Baru hari ini, sambungan TM Unifi diperolehi sejak didaftar kira-kira 2 minggu lalu. Mati kutu jugalah dibuatnya.

Berbalik soal pindah rumah. Kami tidak berpindah jauh kerana tidak ingin menganggu persekolahan anak-anak. Nur Solehah bakal menduduki UPSR dan PSRA pada tahun ini. Izzuddin pula perlu memberi tumpuan pembelajarannya di Tingkatan 4, seterusnya SPM. Begitu juga Hanisah yang bakal menduduki PMR pada tahun hadapan.

Selepas itu bolehlah kami fikirkan untuk berpindah ke rumah sendiri di Saujana Puchong ataupun ke Taman Akademia di Beranang.

Ramai yang bertanya, kenapa berpindah? Jawabnya, sudah sampai masanya kami kembali hidup berdikari, hidup sendiri. Dahulu pun kami pernah tinggal sendiri, antaranya kira-kira 2 tahun di Taman Melati dan juga hampir 4 tahun di Australia. Jadi tiada masalahnya bagi kami.

Anak-anak pula semakin membesar, mereka perlukan rumah yang lebih privacy. Di samping itu bolehlah kami mula mengumpul sedikit sebanyak kelengkapan rumah yang diperlukan.

AlhamduliLlah, rumah yang didiami kini dirasakan cukup selesa. Sedikit sebanyak memang ada kekurangannya tetapi bolehlah diterima. Paling seronok, Masjid As-Sobirin hanya di belakang rumah sahaja. Moga diri ini mampu mengimarahkannya. Ameen.

Sunday, January 1, 2012

Salam Tahun Baru & Hari Jadi

Salam Tahun Baru

Mengikut ketetapan tahun Masihi, detik 12:00 tengah malam 31 Dis adalah kemuncak peralihan perubahan tahun. Dengan kata lain di ambang tahun baru.

Kini detik 12:00 tengah malam tersebut telah pun berlalu, menandakan tahun baru telah pun muncul - tahun 2012 Masihi.

Bagaimana dengan sambutannya? Bergantung. Jika mengikut cara Barat, maka hiburan dan pergaulan bebas adalah kaedahnya. Namun jika ingin diraikan secara Islam, banyak alternatif yang boleh dilakukan, asalkan dengan kaedah yang diredhai oleh Allah SWT.

Bila tiba tahun baru, lazimnya azam pun baru. Dipersilakan. Paling utama adalah hari ini lebih baik daripada semalam dan esok hari lebih baik daripada hari ini. Amat malang sekali sekiranya hari semalam lebih baik daripada hari ini. Kata RasuluLlah SAW celakalah dia... NauzubiLlah.

Salam Hari Jadi

Tanggal 01/01 setiap tahun adalah ulang tahun kelahiran isteri tercinta, Laili.

Anak-anak amat prihatin dengan setiap tarikh lahir kami sekeluarga. Dengan kreativiti tersendiri, Nur Solehah selalunya menjadi perekabentuk kad-kad ucapan. Yang lain-lain sekadar menambah sedikit sebanyak, seterusnya mencoretkan luahan rasa sayang dan harapan setiap insan. Begitulah selalunya. Jimat belanja dan terasa diri lebih dihargai.

Selamat Hari Lahir Ibu Laili - moga kebahagiaan yang mekar berkembang terus mengharum sepanjang zaman sehinggalah bersatu kembali di Jannah. Ameen.