Monday, February 13, 2012

Melaka : Suka dan Duka

Minggu lepas : Cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam berturutan hari di awal minggu. Hari berikutnya (Rabu) kami ke Serting, Negeri Sembilan untuk urusan pendaftaran masuk Izzuddin ke MRSM.

Melaka adalah destinasi percutian kami sebelum bertolak ke Serting. Telah lama anak bongsu kami, Imran meminta berjalan-jalan makan angin ke Negeri Bersejarah tersebut.

Pucuk dicita ulam mendatang. Berkebetulan pula bapa saudaranya, Fahimey dipinjamkan sementara ke sana mulai awal tahun ini. Adalah tempat untuk kami bermalam.

Kami bertolak ke Melaka pada pagi Isnin. Di samping kami 6 beranak, datuk dan nenek pun turut serta. Ibu saudara dan sepupu-sepupunya telahpun menunggu di sana. Lagilah teruja mereka berempat beradik dibuatnya.

Destinasi pertama kami adalah Zoo Melaka. Aduhai ramainya orang... Kenderaan sesak di merata ceruk. Nak letak kereta pun tiada ruang. Di dalam zoo pula pasti pengunjungnya lebih ramai dari haiwan. Lain kali sahajalah.

Singgahan kami seterusnya adalah Taman Botani. Menarik... lenggang. Terasa lebih aman dan tenang. Lebih-lebih lagi dengan persekitaran menghijau berserta bungaan yang berwarna-warni melatari setiap penjuru taman.

Anak-anak bersama sepupu-sepupunya berkejaran ke sana sini bagaikan tiada erti penatnya walaupun panasnya membahang.

Lebih menyeronokkan, mereka berpeluang menunggang basikal seorang sebuah. Sekejap sahaja mereka lesap dari pandangan.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan tangisan nyaring Imran. Rupa-rupanya Imran terjatuh dari basikal. Belakang kepalanya luka dan berdarah. Mungkin terhantuk pada batu atau benda keras. Bercucuran darah membasahi kepala dan pakaiannya. 'Gelap mata' aku dibuatnya.

Suasana gembira bertukar suram. Basikal dikembalikan dan kami berpecah dua. Sebahagiannya pulang ke rumah, manakala sebahagiannya berkejar ke Hospital Pantai di Ayer Keroh. Itulah sahaja hospital/ klinik terdekat yang dibuka (mungkin) pada hari cuti untuk menerima rawatan susulan.

Ramai juga pesakit di Bahagian Kecemasan. Dari bayi hinggalah ke warga emas. AlhamduliLlah, rawatan terhadap Imran dapat disegerakan. Rambut di sekitar luka dicukur, luka dibersihkan, diberikan suntikan bius, dijahit dan dibalut sekeliling kepala ibarat memakai serban.

Sepanjang rawatan, becok sekali mulut Imran bertanya itu dan ini, diselangi suara tangisan sakit bersulam takut, sambil ditenangkan oleh ibunya.

Suaranya membaca doa-doa dan turutan surah-surah lazim bagi melekakannya (juga mengambil barakah) jelas kedengaran sehingga ke tempat menunggu. Sekaligus mengundang senyum dari kakitangan bertugas dan para pengunjung.

Tak kisahlah. Lebih baik membaca ayat-ayatNya daripada menangis meraung ketidak tentuan. Banyak manafaat dan fadhilatnya.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Menurut atuk ketika sesi Tazkirah Subuh, salah satunya sebagai ingatan kepada kami agar mendahului solat jamak taqdim daripada melengahkannya kepada taakhir. Ada benarnya. Ya Allah, ampunilah kami atas kelalaian akan kewajiban yang diperintahkan. Ameen.

Keesokan harinya, sebelum meninggalkan bumi Melaka menuju ke Negeri Sembilan, kami bergerak ke pusat bandar sebelum berhenti sekejap di Menara Taming Sari. Di sepanjang jalan, dapat dilihat pelbagai struktur binaan bersejarah tinggalan penjajah. Semuanya mempunyai erti yang tersendiri. Terserahlah bagaimana ianya diterjemah dan ditafsirkan.

Insya Allah kami akan berkunjung lagi ke Melaka. Ianya sekadar permulaan untuk misi penjelajahan menimba pengetahuan dan pengalaman yang lebih mendalam.

Melewati tengahari, kami singgah di Restoran Ikan Patin Temerloh untuk makan tengahari sebelum beredar meninggalkan bumi Melaka. Terima kasih daun keladi...8)

Hanisah dan Solehah mengikut sepupu-sepupunya pulang ke Hulu Kelang kerana esok harinya bersekolah.

Manakala Imran bersama kami serta atuk dan nenek ke rumah sepupu Laili, Dr. Rabiatul Adawiyah di Simpang Durian, Jelebu untuk bermalam. Keesokan paginya kami perlu bergerak awal ke MRSM Serting.

No comments: