Friday, October 28, 2011

Bonda Kembali Ke RahmatuLlah

Bonda yang amat disayangi, Hajjah Che' Wook binti Haji Ngah telahpun tiada lagi di dunia nan fana' ini - kembali ke alam baqa' yang kekal abadi. Demikianlah ketentuan Illahi. Tiada siapa yang dapat mengengkari mahupun menangguhkannya. Yang pergi telahpun pergi. Manakala yang hidup hanya menunggu masanya sahaja, juga tidak pasti bila saatnya.
Hari Jumaat malam Sabtu yang lalu (21-Oktober-2011 M ~ 23-Zulkaedah-1432 H) sekitar jam 9:30 malam, Almarhumah menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarga di Kg. Telok Menara, Kuala Terengganu akibat sakit jantung yang telah lama dideritainya. Pemergiannya tanpa disedari sesiapa. Amat mudah sekali tanpa menyusahkan ahli keluarga.
Menurut ayahanda, menjelang malam arwah bonda tampak kurang sihat. Solat Maghrib, Isyak dan sunat rawatib yang amat dijagainya dikerjakan secara duduk sahaja. Selepas solat Isyak, beliau merasa tidak sedap badan lalu berbaring di tempat istirehatnya di suatu sudut ruang tamu. Begitulah kelazimannya apabila terasa kurang sihat. Tiada sesiapapun di sisinya ketika itu.
Ayahanda sibuk di kedai runcit bersebelahan rumah, manakala adik-adik pula dengan urusan sendiri.
Ketika ayahanda menjenguk bonda, didapati bonda seakan-akan tidur tetapi badannya terasa sejuk. Rupa-rupanya bonda tidur untuk selama-lamanya. Tidur yang tidak akan terjaga lagi di dunia ini.Kami menerima berita sedih ini tidak lama selepas itu. Ianya suatu kejutan tetapi kami telah bersedia kerana qada' dan qadar Allah SWT datang tanpa dijangka.
Kami bertolak pulang pada malam itu juga dan tiba di kampung halaman kira-kira jam 5:00 pagi.
AlhamduliLlah, urusan memandikan jenazah, mengkafan, menyolat dan mengkembumikannya dibantu oleh kesemua anak-anak dan menantu serta cucu-cucu remaja dan selesai menjelang tengahari keesokan harinya.
Ya Allah, ampunilah segala dosa dan kesalahan bondaku, redhailah segala amal kebaikannya, cucurilah rahmatMu ke atasnya, himpunkanlah rohnya di kalangan para solehah-siddiqin-syuhada', terlepas dari segala azab dan memasuki syurgaMu tanpa hisab. Ameen-ameen-ameen Ya Rabbal 'alameen.
AL-FATIHAH

Thursday, October 6, 2011

Khabar Duka Dari Melbourne

Terkini : AlhamduliLlah, jenazah Almarhum Dr. Kamal telah selamat dikebumikan kira-kira jam 11:00 pagi Sabtu (8/10/2011). Kami tidak sempat menyertai solat jenazah dan mengiringinya ke kubur kerana menjangkakan majlisnya selepas solat Zohor. Tidak mengapalah, itulah yang sebaiknya kerana urusan berkaitan simati perlu disegerakan.

Namun kami berpeluang menyinggah di rumah Nor yang tinggal berdekatan rumah ibu bapanya serta adik beradiknya yang lain. Kesedihan jelas terpancar di wajahnya. Moga Nor dan anak-anak serta ahli keluarga lain mampu menghadapi dugaan ini yakni salah satu ujian daripada Allah SWT.

Hikmahnya, kunjungan kami yang turut sama disertai abah dan emak menemukan kami dengan bapa Nor, Ustaz Haji Mughni dan ibunya yang amat dikenali kerana sama-sama menetap di Jln Kebun, Klang suatu ketika dahulu. Moga persahabatan yang sedia terjalin akan terus mekar selamanya. Ameen.

---------------------------
Update : Insya Allah, jenazah Almarhum Dr. Kamal akan berlepas dari Melbourne Airport pada jam 1:15 pagi Sabtu (8/10/2011) dan dijadualkan tiba di KLIA jam 6:30 pagi.

Khabar diterima, jenazah akan disemadikan selepas Zohor di kampung halaman isterinya di Bukit Naga, Shah Alam. Bagi yang berkesempatan, bolehlah berkunjung ke Lot 2807, Batu 6, Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam.


Terima kasih.

-----------------------------

Beberapa hari lalu kami mendapat berita tentang sahabat kami di Melbourne, Dr. Kamal Ismail aka Pak Tam akan menjalani pembedahan pintasan jantung di St. Vincent Hospital, Fitzroy, Melbourne. Selepas itu dikhabarkan pula keadaannya kritikal. Masing-masing berdoa moga beliau dikurniakan kekuatan dan disembuhkan oleh Allah SWT. Itulah yang selayaknya atas saudara seagama kita.

Petang semalam, kami mendapat SMS dari Sdr. Shaharuddin yang baru sahaja menamatkan pengajian lanjutan di sana, jiran setanah air terdekat Dr. Kamal ketika di Melbourne - Dr. Kamal telah kembali ke rahmatuLlah. InnaliLlahi wainna ilaihi raajiun.

Emel di bawah yang diterima
dari rakan komuniti Kg. Dandy malam tadi mengesahkan berita tersebut. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan dipanjatkan doa moga roh Almarhum dirahmati dan diampuni Allah SWT dan dihimpunkan di kalangan hamba-hambaNya yang diredhai. Ameen.

Satu berita yang amat menyedihkan. Masih terbayang akan perwatakan Almarhum yang sentiasa ceria, gemar berseloroh, banyak bicara dan ringan tangan. Kami mula bertemu hampir 4 tahun lalu, ketika arwah bersama-sama keluarga baru tiba di Melbourne. Almarhum adalah pensyarah perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini berada di tahun akhir pengajian peringkat PhD di La Trobe University.

Kini segalanya tinggal kenangan. Demikianlah aturan kehidupan.

Salam Takziah untuk isteri Almarhum, Nor serta anak-anak; Umaira, Aiman dan Fateha. Moga kalian tabah menerima dugaan hidup yang tidak disangka-sangka ini. Kami hanya mampu mengatakan, sabar dan redhalah... moga kalian dirahmati Allah SWT.

AL-FATIHAH.

Emel dari Melbourne...

Dr. Asrenee to kg-dandy at 10:41 PM (05/10/2011)

Assalamualaikum,


Dengan keizinan pihak keluarga Dr Kamal Ismail (Pak Tam) dgn ini saya memaklumkan bahawa kawan yang kita kasihi ini telah kembali ke Rahmatullah pada jam 5.25 ptg pada tarikh 5 Oct 2011.

Dgn ini diharap semua yang mengenalinya berdoa kebaikan kepadanya, diampuni dosa, ditambah pahalanya dan rohnya berada di 'Illiyyin bersama Ruh para Anbiya, Siddiqin, Syuhada dan Salihin.


Jenazah telah dibawa ke masjid Preston pada pukul 11.25 pm tadi. Urusan mandi & solat jenazah akan bermula jam 10.00 am esok (6/10/2011) di Masjid Preston (90, Cramer St, Preston).

Keluarga dari Malaysia akan sampai esok pagi dan isteri & keluarga arwah boleh dilawati di 36, Cabernet Crescent, Bundoora.


Wassalam.

Wednesday, October 5, 2011

Kenangan Tulip dan Sakura

Australia, terutama di negeri-negeri sebelah selatan benua termasuklah Victoria dan Tasmania kini mengalami musim bunga. Satu suasana yang amat menyenangkan dengan panorama alam nan indah dan persekitaran yang menyegarkan. Lebih-lebih lagi baru sahaja melepasi musim sejuk yang dirasakan 'terkurung dan menyakitkan'. Apatah lagi bagi yang tidak menyukai suasananya seperti kami.

Sesekali menjenguk Facebook dan weblog rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan di bumi Australia pasti ada sahaja cerita dan berita baru. Lahir rasa rindu untuk ke sana, lebih-lebih lagi di musim bunga yang penuh ceria ini.

Kini bunga-bungaan yang berwarna-warni mulai berkembang mekar. Taman-taman bunga menjadi tumpuan ramai.

Salah satunya adalah Tesselaar Tulip yang terletak di Monbulk Road, Silvan; kira-kira 1 jam dari Melbourne City. Dari Dandenong di mana kami menetap dahulu sekitar setengah jam sahaja jaraknya. Hampir saban tahun kami tidak melepaskan peluang apabila tiba musimnya.

Musim bunga tulip tidak lama, hanya sebulan dalam setahun. Lazimnya bermula di pertengahan bulan September. Jika kunjungan kena pada masanya pasti meninggalkan kenangan dan keseronokan yang berpanjangan di mana hampir setengah juta bungaan tulip berwarna-warni melebarkan kelopaknya di bawah panahan lembut matahari. Kelopak bunga seakan-akan jantung pisang tercacak tegap seolah-olah menongkat langit. Saujana mata memandang.

Bagi peminat dan penggemar bunga terutama di kalangan wanita, inilah salah satu syurga idaman mereka.

Walaupun keindahan dan kelembutan bungaan tulip memukau pandangan, kami sekeluarga lebih teruja dengan kecantikan dan keunikan bungaan pink blossom @ sakura yang terdapat di laman hadapan rumah sewa kami dahulu. Sepertimana tulip, sakura juga berbunga hanya setahun sekali di penghujung musim sejuk, seolah-olah penanda akan berakhirnya musim 'sengsara'.

Kelopak bunganya kecil dan nipis mengepak keluar dari tunas bunga menjadi tarikan kepada sang lebah untuk mendampinginya. Gugusan bunga-bungaan sakura berwarna merah jambu yang berkembangan di pokok tanpa dedaunan melatarinya tampak amat mempesonakan sekali. Tiada terucap oleh kata-kata.

Namun keindahannya tidak lama bertahan apatah lagi dengan kehadiran angin dan hujan, mudah sahaja kelopaknya tertanggal. Hilanglah serinya. Maka tunggulah akhir musim sejuk tahun mendatang.

Tuesday, October 4, 2011

PMR & UPKK

Sekarang adalah musim peperiksaan peringkat kebangsaan dan negeri. Dalam jarak masa sebulan ini telah berlangsungnya UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) di sekolah rendah kebangsaan, diikuti pula PSRA (Penilaian Sijil Rendah Agama) di sekolah agama. Kedua-duanya untuk pelajar Tahun/Darjah Enam.

Mulai semalam pula bermulanya ujian bertulis UPKK (Ujian Penilaian Kelas Kafa) bagi pelajar Darjah 5 sekolah agama yang bakal berakhir pada hujung minggu ini. Dalam keluarga kami, Nur Solehah yang bersekolah di KAFA (Integrasi) Masjid Al-Ridhuan sedang menghadapinya.

Manakala di sekolah menengah pula, calon-calon PMR (Penilaian Menengah Rendah) sedang bertungkus lumus menghadapinya termasuklah anak sulung kami, Muhd Izzuddin.

Beberapa minggu lagi, Peperiksaan Akhir Tahun pula akan menyusul.

Sebagai ibu bapa, kami sentiasa mendoakan moga Izzuddin dan Solehah dapat melaluinya penuh tabah dan berusaha sebaiknya. Begitu juga kepada Hanisah dan Imran. Paling utama, sentiasa ingat kepada Allah SWT.

Terus terang, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mereka mengecapi kejayaan cemerlang. Kami memahami situasi yang mereka hadapi kerana baru tahun ini mereka memasuki sistem persekolahan di tanah air setelah bertahun-tahun terbiasa dengan sistem pendidikan di Australia.

Pesan kami, berusahalah setakat yang mampu. Malah kami tidak memberati mereka dengan kelas-kelas tambahan. Buat masa ini cukuplah dengan apa yang diperolehi di sekolah. Apatah lagi pagi petang bersekolah, gunakanlah waktu malam untuk mengulangkaji pelajaran dan beristirehat. Itulah juga yang kami pelajari dari sistem pendidikan di Australia.

Dari pemerhatian kami, AlhamduliLlah keempat-empat anak kami menunjukkan peningkatan yang baik dalam pelajaran dan penguasaan ilmu yang dicurahkan. Sebarang kemusykilan sentiasa diajukan kepada kami untuk diselesaikan.

Moga mereka mampu meraih kejayaan demi kejayaan, di dunia dan juga di akhirat. Ameen.

Wak Mail Pulang Ke RahmatuLlah

Wak Mail adalah panggilan mesra anak-anak saudara untuk Hj. Ismail Hj. Sulaiman, abang kandung kepada emak, Hjh. Azizah Hj. Sulaiman. Beliau sentiasa tampak cool, mudah berbicara dengan senyuman sentiasa terukir mesra. Kini beliau tiada lagi, kembali ke alam baqa'.

Kali terakhir kami bertemu arwah hampir sebulan yang lalu ketika Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Eid Fitr di rumah kami (foto sebelah, bercermin mata sebelah kiri).

Menjelang masuknya waktu Isyak pada hari Sabtu malam Ahad (01/10/2011), kami mendapat panggilan dari Wak Tina, isteri Wak Mail memaklumkan berita duka, Wak Mail telah dipanggil pulang menghadap Allah SWT. Almarhum telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang Puteri, berpunca dari masalah buah pinggang yang tidak berfungsi secara tiba-tiba.

Suatu berita yang amat mengejutkan semua orang yang mengenali beliau. Pemergian yang tiada menampakkan tanda-tanda awal. Demikianlah ketentuan Illahi. Tiada dilengahkanNya walaupun sedetik. InnaliLlahi wainna ilaihi raajiun. DariNya kita datang, kepadaNya kita dikembalikan.

Pada pagi Sabtu, kami menerima panggilan dari Wak Tina mengkhabarkan Wak Mail telah dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri kerana muntah-muntah. Petangnya, keadaan arwah semakin kritikal. Belum sempat arwah dibawa ke bilik dialisis, ajalnya terlebih dahulu menjemput.

AlhamduliLlah, arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumahnya di Giching Hulu, Sepang pada pagi Ahadnya. Moga roh Almarhum Hj. Ismail dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang mendapat keredhaan Allah SWT. Ameen.

Ironinya, arwah bersama Wak Tina dijadualkan berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan haji pada 11-Oktober nanti, mengiringi adik arwah, Mak Cik Kamaliah sebagai muhrim. Walaupun hajat arwah tidak kesampaian, moga arwah dianugerahkan 'haji' disisiNya. Ameen.

Lebih memilukan, pada hari tersebut berlangsungnya majlis pertunangan anak bongsu arwah, Sabir di Subang Jaya.

Moga segalanya dirahmati Allah SWT. Setiap yang berlaku ada iktibar dan hikmah yang sewajarnya diinsafi.

AL-FATIHAH.