Monday, May 31, 2010

Biadapnya Israel

Ketika membuka kotak emel lewat petang tadi, tiba-tiba hati tersentap. Marah, panas hati, geram, sedih dan bermacam-macam rasa lagi membuak-buak di dada. Cepat-cepat dibuka akhbar internet.

Nah, itu dia... tentera Zionis Israel kembali mengganas. Memang dasar pengganas. Kali ini, tanpa tahu malu, mereka menyerang konvoi kapal Freedom Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Genting Gaza di awal pagi (waktu tempatan) hari ini.

Sememangnya sudah dijangkakan rejim Yahudi Israel tidak akan berdiam diri, apatah lagi jika ada kaitan dengan sokongan kepada musuh mereka, rakyat Palestin yang pastinya beragama Islam.
Allah SWT telah menegaskan sikap musuh-musuhnya ini dalam Surah Al-Maaidah ayat 82, maksudnya,
"Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik".
Namun tidak disangka pula dengan cara yang begitu biadap, kejam dan cepat sekali. Belum pun lagi masuk ke perairan Gaza, konvoi bantuan yang diketuai oleh kapal Mavi Marmara dengan lebih 700 orang sukarelawan dari seluruh pelusuk dunia diserang, digeledah dan ditawan. Malah lebih menyayatkan hati, sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan terkorban dan lebih 50 orang lagi tercedera.

Dan diantara sukarelawan yang turut serta, 12 orang daripadanya adalah rakyat Malaysia yang mewakili beberapa NGO di tanah air. Didoakan moga mereka semua sentiasa dilindungi Allah SWT. Ameen.
Untuk berita terkini, sila layari Haluan Palestine.

Sebagai seorang Muslim, apakah tindakan yang boleh kita lakukan? Redhakah kita dengan apa yang berlaku? Walaupun sebilangan dari 700 sukarelawan itu bukannya Muslim tetapi misi mereka amat mulia, untuk membantu Muslim di Palestin yang sekian lama dinafikan keadilan dan kemakmuran oleh rejim Zionis dan sekutunya.

Wahai teman-temanku semua, marilah kita menyertai seluruh umat Islam di seluruh dunia, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap tersebut. Marilah kita bersolat hajat, berdoa dan bermunajat, memohon pertolongan daripada Allah SWT agar usaha para sukarelawan mencapai kejayaan dan para pengganas dilaknati dengan penuh kehinaan.
Jika umat Islam bersatu hati, sama-sama merintihkan doa kepadaNya, Insya Allah doa kita tidak akan dihampakanNya. Itulah janji Allah SWT kepada hambaNya. Yakinlah akan pertolongan dariNya.

“Ya Allah, ampunilah kami, kedua ibu bapa kami dan umat Islam seluruhnya.

Ya Allah, kurniakan kekuatan dan kejayaan kepada rakan-rakan kami yang berusaha membantu saudara-saudara kami di Palestin. Dan Engkau gagalkanlah segala perancangan dan tindakan musuh-musuhMu serta segala sekutunya.

Ya Allah, tolonglah umat Islam di Palestin dan juga di mana sahaja di dunia ini.

Ameen Ya Rabbal 'alamin”.

Sambutan Harijadi

Ian Mustafa adalah anak tunggal (setakat ini..8) kepada Uji dan Peter Scully. Ulang tahun kelahirannya yang ke-4 tahun adalah pada awal Mei lalu.
Uji telah lama menetapkan tarikh untuk disambut bersama-sama dengan ahli keluarga Malaysia yang lain. Dan semalam adalah harinya. Sengaja diadakan pada akhir bulan, asalkan masih dalam bulan Mei.

Majlis sambutannya diadakan di rumah mereka di Caroline St, Dandenong, bermula kira-kira jam 1:00 tengahari. Turut sama meraikannya adalah anak-anak kelahiran Mei iaitu Akmal Lajiman (9 tahun) dan Ainin Hisham (12 tahun). Happy Birthday Ian, Akmal dan Ainin. Moga kalian menjadi anak-anak soleh/solehah, penyejuk hati kedua ibu bapa. Ameen.

Sambutan hari kelahiran yang amat meriah. Selesai sahaja nyanyian lagu Happy Birthday, anak-anak berebut-rebut ‘mengerjakan’ kek-kek yang disediakan. Sekejap sahaja habis licin. Diikuti pula dengan kerumunan mereka terhadap gula-gula yang bertaburan gugur dari kotak yang dipecahkan.

Itu bahagian khas untuk anak-anak.

Untuk semua hadirin, hidangan pelbagai juadah berat dan pemanis mulut memenuhi meja. Semuanya amat istimewa dan sedap sekali.
Begitulah lazimnya apabila diadakan apa-apa majlis. Masing-masing ringan tangan; sama-sama memberi, sama-sama merasa. Jika ada lebihnya, bolehlah dibawa pulang.

AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. Sejuknya amat terasa dengan suhu sekitar 15 darjah Celcius. Sesekali tiupan angin menambahkan lagi hawa sejuk persekitaran. Namun ianya bukan penghalang untuk saling berinteraksi sesama mereka. Yang penting, dapat bersua muka. Tidak kira ibu mahu pun bapa, apatah lagi anak-anak.

Moga ikatan silaturrahim dan kemesraan yang sedia terjalin terus berkekalan selamanya. Ameen.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Uji-Peter).

Friday, May 28, 2010

Happy Birthday Ropidi

Pada hari ini, 43 tahun lalu, saya dilahirkan bertempat di Kg Telok Menara dalam mukim Manir, daerah Kuala Terengganu.
Begitu cepat masa berlalu, meninggalkan nostagia lama yang amat indah kiranya dikenang. Jika dahulu menjadi anak tetapi kini telahpun mempunyai anak. Jika dahulu ayah memegang amanah Allah tetapi kini diri sendiri diamanahkan. Roda kehidupan terus berpusing sehingga ajal menjemput.

Bagi masyarakat kampung dahulu (sekarang tak pasti pula), ulang tahun kelahiran jarang sekali diingati secara bersama. Tuan punya badan tahu-tahu sendiri sahajalah. Majlis hari lahir tidak pernah diadakan. Malah ucapan Selamat Hari Lahir pun jarang benar diterima. Kalau ada pun sesama adik beradik ataupun rakan sebaya yang akrab.

Dahulu lain, sekarang lain.

Semalam dan hari ini, bertalu-talu ucapan selamat diterima dari rakan-rakan lama dan baru. Terima kasih kepada semua terutama kepada anak-anak yang amat prihatin.

Saya tertarik dengan ucapan ringkas dari kawan sekolah dahulu, Haji Khairul, tulisnya,”selamat hari jadi, tuaaa doh mung….”. Itulah hakikat yang perlu diterima. Sewajarnya menginsafkan diri.

Tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi dirasakan semakin berat. Bukan sahaja pada diri tetapi juga pada keluarga dengan anak-anak mula memasuki alam remaja. Juga pada agama dan negara. Moga segalanya dapat dilaksanakan penuh sedar dengan sebaik mungkin.
Merenung ke dalam diri, terasa begitu banyak dosa dan amat sedikit bekalan amal.
"Ya Allah, ampunilah daku, kedua ibu bapaku, kedua mertuaku, juga isteri dan anak-anakku. Ya Allah, kurniakanlah kekuatan padaku untuk beramal penuh ikhlas, melaksanakan amanahMu dan sentiasa mengingatiMu. Hanya redhaMu yang kuharapkan. Ameen".
Selamat Hari Lahir Ropidi...

Tuesday, May 25, 2010

Menginap di Phillip Island

Di penghujung minggu baru-baru ini kami sekeluarga menginap selama 2 malam di Island Breeze Resort di Cowes, Phillip Island. Peluang yang diperolehi sebagai ahli Swiss Garden Vacation Club. AlhamduliLlah.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Island Breeze Resort).

Bertolak Pergi

Pada hari Jumaat (21/05/2010), melewati jam 4:00 petang, kami bertolak ke Phillip Island, sejurus anak-anak pulang dari sekolah. Phillip Island letaknya lebih 100 km dari Dandenong. Jadi kami perlu cepat sebelum malam menjengah. Tambahan pula sekarang ini waktu malamnya agak cepat. Jam 5:00 petang matahari telah pun mulai tenggelam di ufuk barat. Makan dan minum hanya di dalam kereta.

Ketika menghampiri rumah penginapan, tidak disangka navigator membawa kami melalui jalan bernama Kedah Road. Di kiri kanan jalannya pula ditemui Perlis Avenue dan Malay Street. Emm, menarik sekali... pasti ada sejarah berkaitan Malaysia di sebaliknya.

AlhamduliLlah kami tiba di Island Breeze Resort kira-kira jam 6:00 malam. Rumah berkembar 2 tingkat yang amat luas dengan 2 bilik tidur dan 2 bilik air. Dilengkapi pula dengan pelbagai keperluan asas. Amat selesa sekali.

Richardson Point Beach

Keesokan paginya (Sabtu), kami menapak ke pantai Richardson Point yang terletak tidak jauh darinya. Dari pandangan mata, pantainya kelihatan tercemar dengan rumpai-rumpai air dan daun-daun bertaburan yang dibawa air pasang.
Hakikatnya, pantainya lebih bersih kerana hanya bahan mesra alam yang terdampar berbanding kebanyakan pantai di Malaysia yang sering dinodai pelbagai objek yang menyakitkan mata, hasil buangan manusia ke laut. Sedih bila mengenangkannya...

San Remo Jetty

Menghampiri jam 12:00 tengahari, kami telah pun berada di San Remo Jetty, bersebelahan jambatan yang menghubungkan pulau dan tanah besar. Lain-lain pengunjung juga mulai berhimpun menghadap ke arah jeti.
Di hadapan mereka adalah puluhan burung pelican turut berkumpul, menunggu rutin harian ikan-ikan disuakan oleh petugas. Dengan paruhnya yang panjang dan besar, pelican berebut-rebut menyambar ikan-ikan yang dilemparkan. Petugasnya pula petah sekali memberikan penerangan.
Walaupun telah kerap kali kami ke Phillips Island, baru sekarang kami berpeluang melihatnya. Tidak dilepaskan juga peluang untuk meninjau persekitaran jetinya.

Kami singgah di restoran makanan laut bersebelahan jeti, Pelican View untuk merasai keenakan prawn breaded, gummy shark dan potato chips. Harganya agak mahal tetapi tidak mengapalah, sekali-sekala. Rasanya sedap sekali sehingga menjilat jari.

Sebelum beredar tersua dengan Salehuddin (Din Hogan) sekeluarga yang membawa 2 orang rakannya dari Malaysia berjalan-jalan makan angin di sekitar Melbourne. Bagi kami, tidak sah kiranya tidak berkunjung ke Phillip Island apabila bercuti di Melbourne. Banyak tarikannya. Segalanya telah disentuh dalam entri-entri terdahulu.

Rhyll

Seterusnya kami ke Rhyll yang terkenal dengan kegiatan memancing dengan jetinya yang mengunjur ke laut. Rhyll juga dikenali sebagai pusat persinggahan burung-burung yang berpindah (migrasi) serta kepelbagaian tumbuhan natif yang semakin pupus.

Berdasarkan monumen sejarah yang tersergam bersebelahan jeti, pengembara British, Captain George Bass pernah singgah di Rhyll pada 18 Januari, 1798 dalam perjalanannya ke South America.

Cowes

Dari Rhyll, kami terus ke Bandar Cowes. Menghampiri bandarnya, kami tertarik dengan pepohonan di kiri kanan jalan yang merimbun bagaikan payung bercantum, meneduhi laluan di bawahnya. Deretan kedai-kedai banyak sekali di sekitar bandar Cowes. Kami terus menuju ke tepi pantainya, menyinggah di Mussel Rocks.

Mussel Rocks adalah ketulan-ketulan batu besar yang mendatar di pinggir laut. Batuannya menggerutu dan bergerigi serta beralur-alur bagaikan dilorek. Kelihatan juga kepah-kepah kecil melekat di celah-celah batu berhampiran gigi air.

Di sebelah petangnya kami tidak ke mana-mana. Begitu juga malamnya. Anak-anak lebih seronok berada di Games Room yang tersedia pelbagai jenis aktiviti seperti permainan video, ping pong, snooker, monopoly, mewarna dan bermacam-macam bahan bacaan.
Kolam renangnya yang berhawa panas juga telah pun dikunjungi ketika pulang dari pantai di sebelah paginya. Kami benar-benar beristirehat.

Bertolak Pulang

Pagi Ahad (23/05/2010), kami bertolak awal pulang ke Dandenong, sekitar jam 6:30 pagi, selepas sahaja solat Subuh. Ikutkan hati ingin terus berehat sehingga ke petang. Apakan daya, paginya Izzuddin ada ujian kenaikan tali pinggang Tae Kwon Do. AlhamduliLlah kami tiba di rumah kira-kira jam 8:00 pagi.

Sunday, May 23, 2010

Black Belt - TAHNIAH Izzuddin

Dalam Tae Kwon Do, samada WTF mahupun ITF, tahap penguasaan dan kepakaran seni bela dirinya ditentukan melalui warna dan calit tali pinggang (belt). Bermula dengan White Belt, meningkat kepada beberapa warna dan calit tertentu sehinggalah kepada Black Belt. Seterusnya diikuti pula dengan tahap-tahap Black Belt yang lebih sukar dikenali sebagai Dan.

Anak sulung kami, Izzuddin (Iddin) telah pun 2 ½ tahun mengikuti latihan Tae Kwon Do bersama Olympic Tae Kwon Do Centre (OTC) cawangan Dandenong. Kelab utamanya ditubuhkan oleh Master Jemal Hasan (7th. Dan) yang berpusat di Fawkner, Melbourne. Menariknya lebih 90% ahlinya adalah Muslim, termasuk cawangan Dandenong yang diketuai oleh jurulatihnya, Master Mohameddi.

Bermula dengan White Belt, dengan semangat jitu dan disiplin diri yang tinggi, pencapaian Iddin amat memberangsangkan. Setiap kali sesi latihan dan ujian kenaikan tali pinggang yang diadakan, Iddin sentiasa mendapat pujian dari jurulatihnya serta Master Jemal (foto di bawah).

Dan hari ini adalah hari penentuan untuk Iddin. Malah ianya lebih bermakna untuknya, ujian kenaikan tali pinggang dari Red Belt 2 kepada Black Belt. Bersamanya adalah Izzati Wafir dan Naseem yang juga dalam kategori yang sama.

AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar walaupun adakalanya Iddin kelihatan gemuruh. Gerakan pattern-nya kemas dan sepakannya mantap. Paling menarik, acara memecahkan 2 keping papan dengan 2 gerakan yang berbeza. Setiap satunya dilakukan dengan satu sepakan/ hayunan sahaja.

TAHNIAH IDDIN. Tercapai sudah satu impian. Segala puji hanya untukNya.

Black Belt sebenarnya bukan segalanya. Perjalanannya masih lagi jauh. Masih banyak onak duri yang perlu ditempuhi. Itupun jika sanggup meredahnya.

Namun kepuasan meraih Black Belt tidak seharusnya diabaikan. Satu pengiktirafan atas kegigihan selama ini yang tidak bertepi. Moga ianya mampu membentuk keyakinan, disiplin dan jati diri yang berterusan dalam mengharungi hidup mendatang.

TAHNIAH Izzuddin, Izzati dan Naseem. Juga kepada adik Izzati, Imran Wafir yang bertukar tali pinggang kepada Blue Belt.

Nota Diri

Dah lebih seminggu saya langsung tidak menambah catatan di blog. Kasihan juga kepada para penjenguk yang menyinggah tetapi tiada apa yang baru. Maaf dipinta.

Sebenarnya keinginan menukilkan sesuatu catatan sentiasa segar, malangnya tiada kesempatan. Penggunaan komputer dan internet perlu dikongsi. Keutamaannya pada yang lebih memerlukan. Pada ketika lain, urusan harian selalunya didahulukan walaupun komputer dan internet tiada siapa yang menyentuhnya. Tambahan pula ada tamu di rumah.

Sememangnya banyak cerita dan berita yang sering bermain di fikiran namun hingga kini hanya tinggal bayangannya sahaja. Insya Allah, mana yang masih relevan akan dimasukkan dari masa ke semasa.

Cuma masalahnya setiap kali menaip, tidak pernah pendek, selalu sahaja panjang. Kerap kali juga mencuba, namun tidak pernah menjadi. Bimbang juga tiada insan yang sudi membacanya sehingga ke penamat. Syok sendirilah jawabnya....8)

Tak mengapalah, hakikatnya setiap entri yang dihasilkan untuk kepuasan diri sendiri. Juga sebagai catatan semasa yang lazimnya kerap dilupai selepasnya. Jika dirasakan perlu, bolehlah dijadikan bahan rujukan peribadi di kemudian hari. Selebihnya, sekiranya ada manafaat pada yang lain, ambillah sebagai panduan.

Secara ringkasnya, pada minggu lepas kami dikunjungi keluarga dari Malaysia, adik Laili, Euslita Fairuz bersama suami dan 2 orang anak perempuannya. Hampir seminggu mereka di Melbourne, kini mereka sedang bercuti di Sydney, di rumah kakaknya, Eusni Rahayu. Insya Allah mereka akan kembali ke Melbourne pada hari Selasa ini sebelum berangkat pulang ke tanah air pada awal Jun nanti.

Dan di penghujung minggu sehari dua ini pula, kami bercuti di Phillips Island. Menginap 2 malam di Island Breeze Resort. Pagi hari ini (Ahad) kami bergegas pulang ke Dandenong kerana Izzuddin perlu menghadiri sesi ujian kenaikan tali pinggang (grading) Tae Kwon Do.

Insya Allah, setiap peristiwa di atas akan disentuh panjang lebar dalam entri seterusnya.

Wednesday, May 12, 2010

Ujian NAPLAN

NAPLAN adalah singkatan kepada National Assessment Program – Literacy and Numeracy. Ianya adalah ujian penilaian penguasaan bahasa dan matematik untuk para pelajar Tahun 3, 5, 7 dan 9 di seluruh Australia. Difahamkan, ianya menjadi ukuran bagi setiap pelajar agar setara dengan tahap piawaian pendidikan kebangsaan.

Pada tahun lepas, Solehah (ketika itu Grade 3) dan Izzuddin (ketika itu Year 7) telah pun melaluinya. Dan pada tahun ini, Hanisah yang baru melangkah ke sekolah menengah (Year 7) pula menghadapinya.

Setiap tahun, pada bulan Mei ianya dijalankan selama 3 hari berturut-turut. Pada tahun ini ianya bermula semalam dan akan berakhir esok hari. Pada hari pertama, ujiannya adalah Language Conventions dan Writing, hari kedua Reading dan hari ketiga 2 ujian untuk Numeracy. Setiap ujian hanya mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja.

Walaupun para pelajar melalui Ujian NAPLAN, pembelajaran harian mereka berjalan seperti biasa. Tiada cuti dan tiada perlepasan.

Keputusan ujian ini biasanya akan diketahui kira-kira sebulan selepasnya. Sebelum berakhir Penggal Ke-2 persekolahan (akhir Jun), guru kelas akan memaklumkan tahap pencapaian para pelajar mereka kepada ibu bapa. Laporan rasmi dari Kementerian Pendidikan pula akan menyusul pada bulan Ogos/September.

Laporannya ringkas sahaja. Mewakili setiap ujian hanya ditandakan tahap pencapaian pada band tertentu berbanding tahap purata kebangsaan bagi tahun pengajian yang diikuti.

Ketika Solehah menghadapi Ujian NAPLAN pada tahun lepas, saya terserempak dengan gurunya, Mrs Cornway. Beria-ia sekali beliau memberitahu, usah risau dengan keputusan ujian tersebut. Mungkin ketika ujian para pelajar tidak sihat dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian. Tambahnya lagi, pada hakikatnya guru-guru tahu tahap sebenar pencapaian pelajar-pelajar mereka.
Betul apa yang dikatakan. Guru-guru di sekolah amat rapat dengan setiap pelajar, ibarat ibu/bapa dan anak-anak. Lebih-lebih lagi di sekolah rendah. Seorang guru kelas akan mengajar hampir kesemua subjek kecuali subjek khusus seperti Arts, Physical Education dan ICT.

Lebih menarik lagi, tiada perbandingan dilakukan ke atas setiap pelajar. Pencapaian mereka tidak diberikan hirarki, siapa terbaik dan seterusnya sehingga siapa tercorot. Tidak secara langsung melahirkan keyakinan diri tanpa rasa bangga diri apatah lagi rendah diri. Maksudnya, keputusan ujian hanyalah panduan kepada guru-guru. Kelemahan pelajar adalah satu cabaran bagi mereka bukannya satu cemuhan.

Alangkah baiknya jika ianya dapat dilaksanakan di Malaysia. Moga-moga. Ameen.

Sunday, May 9, 2010

Majlis Kesyukuran Mokhtar-Yasmin

Semalam (Sabtu, 8/5/2010), warga Kg Dandy berkumpul di rumah Mokhtar-Yasmin di Selbourne Way, Mulgrave. Mereka mengadakan majlis kesyukuran – syukur atas segala ni’mat tidak terhingga kurniaan Allah SWT. Bukan sahaja untuk mereka tetapi untuk semua, khususnya warga komuniti Kg. Dandy. Bersama-sama kita mengsyukurinya. AlhamduliLlah...
Sebahagian fotonya terdapat di Album Foto Kami (@ Rumah Mokhtar)

Sebenarnya mereka berdua (berbaju jalur + bertudung) telah lama berhajat mengadakan majlis seumpamanya. Sebelum ini mereka menyewa rumah unit 2 bilik di Chadstone. Rumah kecil tanpa halaman, bersambungan pula dengan unit-unit lain merencatkan impian mereka.
Pada awal Mac, 2010 mereka berpindah ke rumah sewa baru yang diduduki kini. Rumah yang besar dan luas berserta halaman hadapan dan belakang. Cukup selesa untuk mereka berdua bersama 4 orang anak.

Semalam, impian mereka tertunai sudah. Kehadiran ahli keluarga Kg. Dandy berserta para jemputan amat menggembirakan mereka.
Majlis yang bermula kira-kira jam 10:00 pagi berlanjutan hingga ke 3:00 petang. Bersama-sama mereka menyiapkannya, bersama-sama pula mereka menggemaskannya. Demikianlah sikap terpuji yang telah menjadi amalan warga Kg. Dandy. Moga berkekalan selamanya walaupun setelah pulang ke tanah air.

Pelbagai juadah yang dibawa oleh setiap keluarga memenuhi meja-meja hidangan yang disediakan di beranda belakang rumah. Sedap dan amat menyelerakan. Bab memasak memang ramai pakarnya di Kg. Dandy.
Terlebih istimewa lagi adalah menu utama yang disediakan sendiri oleh tuan rumah iaitu sate. Bau aromanya dengan kepulan asap dari set BBQ sememangnya menjadi tumpuan utama. Untuk anak-anak pula disediakan cup cake dengan dekorasi sendiri. Sekejap sahaja habis.

Menghampiri jam 1:00 petang, kami berhenti untuk menunaikan solat Zohor berjemaah, diikuti dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Haidar. Sama-sama berdoa dan bermunajat memohon keampunan dari Allah SWT. Juga, moga dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kepada semua. Ameen.
Seterusnya dihidangkan pula dengan pulut kuning, dimakan dengan gulai daging, dendeng ataupun bubur kacang durian. Erk.. Tiada kerja lain asyik makan sahaja..8) AlhamduliLlah, atas setiap rezeki yang dianugerahiNya.

Sebenarnya makan-makan bukanlah matlamatnya. Ia sekadar selingan sahaja. Tujuan kami berkumpul adalah untuk bertemu muka, bertanya khabar berita dan saling mengenali secara lebih dekat terutama di kalangan keluarga baru. Berada di perantauan, rakan-rakan inilah yang menjadi keluarga kita yang boleh diharapkan, lebih-lebih lagi ketika dalam kesusahan.

Tuesday, May 4, 2010

Tidak Sihat

Sejuknya musim luruh (autumn) masih lagi berterusan. Sesekali panas mencelah di balik awan tidak mampu menghangatkan persekitaran. Sebelah siangnya sejuk, apatah lagi di sebelah malam.

Perubahan cuaca ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Di penghujung minggu baru-baru ini, kami sekeluarga diserang selesema dan ada yang demam dan batuk-batuk. Sekarang ini pun masih belum kebah betul lagi. Bermula dengan ibunya, diikuti oleh saya, Izzuddin dan juga Imran. Hanisah dan Solehah pun ada tanda selesemanya tetapi sedikit sahaja. Harap-harap tidak berterusan.

Pada hari Ahad, kami sepatutnya mengikut rombongan beberapa keluarga Kg. Dandy berjalan-jalan ke Eltham, hampir 40 km dari Dandenong. Menyinggah di Diamond Valley Railway (DVR), menaiki keretapi mini mengelilingi Eltham Lower Park. Anak-anak kami teruja untuk turut serta tetapi apakan daya... keadaan tidak mengizinkan. Lebih baik mereka berehat di rumah sahaja sambil makan ubat yang sedia ada di rumah.

AlhamduliLlah, dua hari ini cuacanya baik sekali, sederhana panas berserta angin. Tubuh yang lemah kembali bertenaga. Hidung yang sebu beransur lega. Batuk-batuk pun semakin berkurangan. Moga semuanya segera sembuh dan dapat bergerak bebas serta ceria seperti sebelumnya.

Kepada anak-anak, mereka sentiasa diingatkan bahawa setiap penyakit adalah sebahagian daripada dugaan daripada Allah SWT. Kiranya kita redha, Insya Allah sebahagian dosa kita akan diampunkanNya dan ditingkatkan darjat di sisiNya. Malah ketika sakit kita akan merasa lebih dekat kepadaNya, mengadu dan memohon kepadaNya agar kita disembuhkanNya.

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Penyembuh. Betapa besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita. Tidak terhitung dan ternilai oleh hambaNya. Maha Suci Allah.