Monday, August 31, 2009

Salam Kemerdekaan

Hari ini, 31 hb. Ogos… Malaysia…. Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Kali Ke-52. Jika dibandingkan dengan umur manusia, ianya sudah menghampiri usia bersara. Satu jarak masa yang agak lama selepas Tanah Melayu @ Malaya @ Malaysia dibebaskan dari cengkaman pemerintahan British.

Moga dengan usia seumpama itu, Malaysia telah pun matang dan berpengalaman luas dalam selok belok dan pancaroba kenegaraan dan kedaulatan. Tegas dengan pendirian dan sentiasa dihormati oleh negara lain.

Begitu juga dengan rakyat jelata. Sewajarnya pemikiran kita telahpun merdeka dari segala kongkongan dan budaya luar. Mampu berfikir berlandaskan realiti kehidupan di sekeliling kita sendiri. Saling homat menghormati dan bertoleransi dalam semua hal. Sebarang kemusykilan dibawa berbincang secara harmoni. Terlebih lagi melibatkan keadilan sejagat demi kemakmuran semua. Hakikat sebenar tidak begitu, terlebih lagi jika beragenda politik. Namun ianya tidak mustahil.
Begitu juga pancaroba di kalangan umat Islam di Malaysia. Kemurniaan Islam kerap dipertikaikan, malah oleh penganutnya sendiri. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Mana mungkin kita mengharapkan penganut agama lain menghormati agama kita jika kita sendiri seolah-olah tidak yakin dengannya.

Bak kata bidalan, jika kail panjang sejengkal, usahlah menduga laut yang dalam, kelak nampak kejahilan sendiri.

Salam Kemerdekaan untuk semua.

Wednesday, August 26, 2009

Berkunjung ke Phillip Island

Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.
Pada malam Ahad (15/08/2009), semalaman angin bertiup kencang berterusan sehingga ke pagi. Diikuti pula dengan hujan lebat turun berlarutan, tiada tanda ianya akan berhenti. Masing-masing merenung penuh gundah kerana kami merancang untuk bertolak ke Phillip Island pada paginya, bersama-sama dengan keluarga Eus-Fahimey.

Menghampiri tengahari, hujan masih lagi turun; lebat dan renyai bersilih ganti berserta angin yang adakalanya bertiup kencang. Rancangan telahpun diatur, baik diteruskan sahaja. Anggaplah ianya hujan rahmat, kurniaan dari Allah SWT setelah setiap hari perjalanan mereka selama seminggu sentiasa diiringi cuaca yang baik sekali. Kami menaruh harapan moga hujan berhenti ketika berada di Phillip Island. Ameen.

Phillip Island letaknya kira-kira 100 km dari Dandenong, satu jarak melebihi 2 marhalah yang membolehkan kami untuk bersolat jamak. Perjalanan kami melalui South Gippsland Hwy lancar meredah hujan yang berterusan turun. Melewati jam 12:00 tengahari, kami tiba di Phillip Island, berhenti seketika berhadapan jeti Marine Parade berhadapan The Narrows Bridge di San Remo untuk melihat sesi memberi makan burung pelican tetapi terlepas, sedikit terlewat dari masa yang ditetapkan. Cukuplah sekadar melihat burung berkenaan secara dekat, sekurang-kurangnya mengenalkan anak-anak dengannya.

A Maze'N Things
Melintasi The Narrows, kami singgah di Information Centre di New Haven untuk membeli cenderahati. Hajat kami untuk terus ke Wildlife Park terpaksa ditangguhkan kerana hujan masih lagi turun. Ada baiknya pergi ke kawasan tertutup dahulu dan pilihan kami adalah ke A Maze‘N Things. Pelbagai permainan menguji minda seperti puzzles, optical illusions dan maze yang ada benar-benar menenggelamkan kami semua dalam keasyikan sehingga tidak menyedari masa begitu pantas sekali berlalu.

Bersebelahan bangunan utama A Maze’N Things terdapat tempat rehat bertutup. Di situlah kami menjamu selera dengan bekal yang dibawa sambil menunaikan solat jamak. AlhamduliLlah.

Phillip Island Wildlife Park
Seterusnya kami ke Phillip Island Wildlife Park. Difahamkan para pengunjung dibenarkan memberi makan kangaroo dengan tangan sambil dikelilingi oleh haiwan berkenaan. Itulah tujuan kami, untuk memberi peluang keluarga ipar merasai pengalaman menarik yang hanya ada di bumi Australia.

Tidak mengecewakan, terdapat puluhan red dan grey kangaroo serta wallaby (kecil sedikit dari grey kangaroo) dilepas bebas di serata ceruk taman. Geli geleman terasa tapak tangan apabila lidah kangaroo yang kesat dibasahi air liurnya menjilat makanan yang disuakan. Anak-anak Eus-Fahimey; Ainul, Aiin, Arif dan Adam pada mulanya takut-takut, akhirnya merasa begitu seronok sekali. Mungkin mendapat suntikan keyakinan apabila melihat Izzuddin dan Hanisah yang telah biasa melakukannya sebelum ini. Bekalan makanan yang dibeli di kaunter tiket ketika masuk sekejap sahaja habis.

Ketika berada di taman, hujan renyai-renyai sesekali sahaja turun, memberi peluang kami menjelajah hampir ke seluruh kawasan. Najis kangaroo dan lain-lain haiwan yang dilepas bebas kelihatan bertaburan di merata tempat. Dengan keadaan tanah dan rumput yang basah, menyebabkan tapak kasut mudah sahaja dipalitinya. Sebelum keluar terpaksalah dikesat/ disental pada rumput.

Lain-lain haiwan di dalamnya tidak kurang menariknya; antaranya black swan dan emu yang dilepas bebas. Cockatoo, helang, tasmanian devil, dingo, koala dan quoil yang diletakkan di dalam sarang/ kandang. Begitu juga wombat yang biasanya lembab, aktif sekali bergerak di dalam kandangnya. Tidak terkecuali haiwan reptilia seperti ular yang diletakkan dalam petak kaca.
Walaupun haiwan di Phillip Island Wildlife Park ini tidaklah sebanyak di zoo atau wildlife park lain, namun dirasakan amat berbaloi untuk dikunjungi. Tiket masuknya juga tidaklah mahal sangat, sekitar $12.00 sahaja untuk dewasa. Akan tetapi amat menghairankan kerana ianya tidak dipromosikan di dalam makalah pelancongan Phillip Island.

Penguin Parade
Ketika matahari mula terbenam di ufuk barat dengan cahaya merah kekuningan melingkungi kaki langit, kami bergegas menuju ke Penguin Parade. Tumpuannya adalah little penguin berarak naik berderetan dari gigi laut menuju ke sarang di pinggir daratan tika siang berganti malam. Keluarga Eus-Fahimey masuk ke dalam, keluarga kami pula berangkat pulang. Dahulu kami telah pun pernah ke sana. Cukuplah sekali. Suhu persekitarannya agak sejuk dengan tiupan angin laut dan gerimis hujan yang masih turun.

Menghampiri Frankston, kami melencong ke sana, singgah sebentar di rumah Azidah untuk solat jamak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. Tidak lama selepasnya, keluarga Eus-Fahimey pula sampai. AlhamduliLlah semuanya selamat.

Tuesday, August 25, 2009

Bermain Salji di Mt. Buller

[Maaf, foto tidak dapat diupload]
Bermain salji adalah antara agenda utama keluarga Eusni-Fahimey ketika bercuti di Melbourne. Sememangnya sengaja dipilih percutian mereka ke sini dalam musim sejuk. Ada kelainan daripada suasana panas yang biasa dialami ketika di Malaysia, secara tidak langsung memberi pengalaman baru kepada mereka terutama anak-anak yang paling teruja mengenainya.

Cadangan awal kami untuk membawa mereka bermain salji ke Lake Mountain yang terletak kira-kira 100 km sahaja dari rumah kami. Akan tetapi keadaannya amat menyedihkan, saljinya amat nipis dan adakala hanya bertompok-tompok di sana-sini. Kasihan Lake Mountain, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah hampir keseluruhan kawasannya hangus terbakar ketika kebakaran besar (inferno), Black Saturday pada awal Februari lalu, kini saljinya pula bagaikan segan untuk turun. Itulah ketentuan Allah SWT. Ada pelajaran dan pengajarannya…

Pagi Jumaat (14/08/2009) kami membuat keputusan drastik, baik ke Mt. Buller sahaja, laporan saljinya amat memberangsangkan. Biar puas hati mereka sekeluarga dan tercapai hasrat di hati untuk berguling bergolek di atas hamparan salji memutih. Mt. Buller, lokasinya jauh sedikit, kira-kira 230 km dari Dandenong. Kami perlu bertolak selepas anak-anak pulang dari sekolah, sekitar jam 04:30 petang dan bermalam di Alexandra.

AlhamduliLlah, kami tiba di Alexandra Motel Inn sekitar jam 07:30 malam setelah merentasi Maroondah Hwy yang ada ketikanya berliku-liku dalam kelam malam dengan deretan kereta yang panjang mengekori di belakang, dirasakan amat mencabar sekali.

Pagi Sabtu , keluar dari motel, kami terus bertolak ke Mt. Buller yang letaknya kira-kira 130 km. Di Mansfield, kami singgah menyewa toboggan slide serta snow pants dan snow boots di SCM Discount Ski Hire. Ramai betul pelanggannya, kebanyakkannya menyewa peralatan ski. Berdasarkan pengalaman ke Mt. Buller sebelum ini, didapati harganya lebih rendah daripada pesaingnya. Agaknya, itulah tarikannya.

Perjalanan mendaki sehingga ke Horse Hill Car Park bergerak lancar. Hampir kesemua tempat letak keretanya penuh. Cuacanya panas dan kurang terasa sejuknya. Tompokan saljinya kelihatan di merata-rata tempat. Lapisan salji di Toboggan Area-nya juga nipis, tampak jelas lapisan tanah di bawahnya tapi masih boleh untuk bermain slide. Seronok sekali anak-anak apabila dapat bermain bersama walaupun pada awalnya ada yang terasa gerun untuk mengelungsur laju ke bawah.

Dalam keghairahan mengambil foto mereka, tiba-tiba kaki saya tergelincir dan badan terhempap ke tanah. Terasa kelam seketika dunia. AlhamduliLlah hanya sedikit sahaja cederanya. Kamera di tangan tercampak, langsung tidak berfungsi lagi. Bernasib baik ada kamera Laili, masih boleh dirakamkan foto mereka.

Dari Horse Hill, kami menaiki chairlift berbayar ke puncak Mt. Buller di Spurs. Meninjau pemandangan di bawah dari chairlift, sesekali terasa gayat juga di hati. Tompokan salji di celah-celah kehijauan pokok di sekitarnya kelihatan cantik sekali.

Di Spurs, hamparan salji tebal memutih memenuhi keseluruhan kawasan, memukau pandangan. Di sesetengah tempat, kaki terjerlus tanpa disedari. Sejuknya lebih terasa berbanding ketika di Horse Hill. Suasananya tidaklah sesibuk di Blue Bullet bersebelahan Village Centre yang pernah dikunjungi dahulu, amat sesuai untuk berekreasi bersama keluarga.

Keseronokan anak-anak tiada taranya. Snow ball dibaling sesama sendiri, snow castle dibina di sana-sini, snow man juga tidak terkecuali. Adakala berguling-guling mereka penuh gembira. Di kesempatan yang ada, tidak dilepaskan peluang bermain snow tube (percuma) menuruni cerun bersilih ganti. Main… Main…. Main… tiada siapa yang melarang, malah disuruh lagi adalah…8) Langsung tidak dihiraukan kesejukan yang mula menyengat dek ais membasahi stoking dan sarung tangan serta pakaian.

Sebelum bertolak pulang, kami bersolat jamak qasar dahulu di Spurs. Wuduk diambil menggunakan air salji dan hamparan salji menjadi sejadahnya. Pengalaman yang amat berguna terutama kepada anak-anak.

Kami bertolak turun sekitar jam 03:45 petang. Singgah di Mansfield untuk menghantar barangan sewa, seterusnya meneruskan perjalanan pulang ke Dandenong. Sebelum tiba di rumah, kami melencung ke masjid (Isomer Islamic Society) di Wellington Rd, Lysterfield untuk solat jamak. AlhamduliLlah… selamat tiba di rumah kira-kira jam 08:15 malam dalam keadaan angin bertiup kencang.

Malah semalaman sehingga ke keesokan harinya tiupan angin kencangnya masih belum berhenti. Suasana yang amat membimbangkan untuk misi kami seterusnya, ke Phillip Island pula.

Monday, August 24, 2009

MAAF > Tiada Foto

MOHON MAAF. Ada masalah teknikal. Koleksi foto dari kamera Nikon tidak dapat diupload ke komputer, bermasalah dengan perisiannya. Kamera yang biasa digunakan, Kodak pula rosak setelah terjatuh ketika di Mt. Buller.
Insya Allah akan dimuatkan ke album setelah segalanya dapat diatasi.
Terima kasih.

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan

Hari ini bermulanya Ramadhan El-Mubarak untuk kesekian kalinya. Setinggi-tinggi pujian untuk Allah SWT yang memberi kesempatan pada diri ini untuk bertemu kembali dengannya. Moga dikurniakan kekuatan olehNya untuk melaluinya penuh sedar dalam meraih setiap kelebihan yang ada. Terlalu banyak fadhilatnya yang berganda-ganda ganjarannya, anugerah agung dari Allah SWT. Amat rugi sekali jika ianya terlepas begitu sahaja. Moga sama-sama kita dapat menikmatinya.
Ya Allah, jadikanlah Ramadhan tahun ini Ramadhan terbaik berbanding Ramadhan-Ramadhan sebelum ini. Hanya redhaMu yang didambakan. Ameen.
Di Australia, khususnya di Victoria telah diumumkan oleh Islamic Council of Victoria (ICV) bahawa permulaan Ramadhan jatuh pada hari ini. Namun ada golongan tertentu terutama komuniti Turki telah pun berpuasa mulai semalam, berdasarkan kiraan organisasi falak mereka. Tidak terkecuali masyarakat Turki yang mendominasi Masjid Emir Sultan di Dandenong.
Walaupun kami berada di qariah yang sama, tetapi kami mengikut kiraan falak yang dikeluarkan oleh ICV yang dirasai lebih relevan untuk diikuti. Itu juga yang diikuti oleh masyarakat Malaysia di Victoria ini. Terserahlah pada keyakinan diri masing-masing mana satu yang ingin diikuti.
Kepada semua, selamat menyambut Ramadhan El-Mubarak dengan amalan yang selayaknya. Salam Ramadhan dari kami sekeluarga di Dandenong. Salah silap harap dimaafkan.
Berikut adalah pengumuman yang dikeluarkan oleh ICV pada hari Khamis baru-baru ini:-
Ramadan update from Board of Imams
Thursday, 20 August 2009
The Board of Imams have stated based on the strongest calculation that the start of Ramadan will be
Saturday the 22nd of August
People are also advised to check with their local mosque. The ICV wishes you and your family a blessed month filled with goodness.

Friday, August 21, 2009

Tetamu Malaysia - Ipar Pulang Ke Malaysia

[Foto akan dimasukkan kemudian, belum upload ke komputer]
Awal pagi Khamis 20/08/2009, keluarga ipar, Eusni Rahayu dan Fahimey berserta anak-anak berangkat pulang ke Malaysia menaiki AirAsia. AlhamduliLlah selamat tiba di tanah air kira-kira jam 07:00 paginya. Mereka datang bercuti ke Melbourne hampir 2 minggu sejak hari Ahad, 09/08/2009 lalu.

Di Melbourne Airport, tersua Dr. Kamal, pensyarah UPM yang sedang melanjutkan pengajian PhD-nya di La Trobe University, Bundoora berserta keluarganya, juga menaiki penerbangan yang sama dengan keluarga Eusni. Dr. Kamal adalah rakan pensyarah Eusni di UPM, sama-sama di Fakulti Perubatan. Difahamkan mereka balik bercuti lebih sebulan, bermakna berpuasa dan beraya di kampung halamanlah mereka bersama sanak-saudara.

Berbalik pada keluarga Eusni. Keintiman hubungan anak-anak sesama sepupu tampak jelas setiap kali mereka dapat bersama. Seakan tidak sanggup berpisah, terutama si bongsu, Adam dan abangnya, Arif. Menangis mereka tidak mahu pulang ke Malaysia. Kakak-kakaknya pun kelihatan berat hati untuk pulang. Walaupun suasana sejuk sedikit meresahkan mereka tetapi ianya bukan penghalang.

Sehari selepas tiba di rumah kami, mereka telahpun mengorak langkah, memulakan misi pelancungan mereka yang telahpun siap diatur. Bermula dengan menyusuri tepian pantai Great Ocean Road yang terkenal dengan panorama alamnya yang cantik, malamnya mereka menginap di Port Campbell. Keesokan harinya mereka meninjau keunikan batuan Twelve Apostle, Lord Arc Gorge dan London Bridge sebelum menuju ke Mt. Gambier.

Hari ketiga percutian, mereka berjalan-jalan di sekitar Mt. Gambier, antaranya ke Blue Lake, Umpherstone Sinkhole, Garden Cave, Eughelbert Cave dan Tantanoola Cave. Malamnya mereka bermalam di Hamilton, bandar yang belum pernah kami terokai sebelum ini. Dengar cerita tidak kurang menariknya.

Tengaharinya mereka singgah di Sovereign Hill, Ballarat untuk mengimbas kembali usaha-usaha penerokaan emas seawal tahun 1850an. Yang pasti, foto keluarga dengan kostum kolonial tidak dilepaskan. Mereka tiba kembali di rumah kami pada malam Jumaat. AlhamduliLlah, semuanya selamat dengan cuaca panas setiap hari.

Hari Jumaat mereka berehat seharian di rumah sambil merancang percutian hujung minggu bersama keluarga kami. Tumpuan utama adalah bermain salji. Hajat hati untuk ke Lake Mountain yang terletak sekitar 100 km dari rumah. Malangnya hampir setiap hari laporan saljinya amat mengecewakan. Kasihan mereka jika tidak dapat merasai pengalaman yang sewajarnya. Nekad kami untuk Mt. Buller sahaja yang terletak kira-kira 230 km dari Dandenong, lokasi yang pasti ada saljinya.

Petang Jumaat, selepas anak-anak pulang dari sekolah, kami terus menuju ke Alexandra untuk bermalam di sana. Perjalanan malam yang mencabar melalui laluan berliku-liku dalam kelam malam tidak berlampu. Pagi Sabtu (15/08/2009), kami meneruskan baki perjalanan 130 km ke Mt.Buller, singgah hampir sejam di Mansfield untuk menyewa pakaian salji dan toboggan slide. AlhamduliLlah cuacanya baik sekali. Pengalaman yang amat bermakna bagi mereka terutama anak-anak. Petangnya, dari Mt. Buller kami terus pulang ke rumah di Dandenong.

Pagi Ahad (16/08/2009), dalam hujan lebat turun berserta angin menderu, kami ke Phillips Island pula. Dek kerana hujan, kami singgah di Maze n Things yang terletak dalam tempat tertutup untuk melihat keajaiban dunia sains dalam kehidupan. Ketika hujan reda, kami ke Wildlife Park untuk memberi peluang mereka merasai pengalaman memberi makan kangaroo yang dilepas bebas serta melihat lain-lain haiwan natif Australia. Ketika senja menjengah, mereka singgah di Penguin Parade di mana little penguin berderetan naik dari laut menuju sarang di daratan.
Insya Allah rentetan pengalaman di Mt. Buller dan Phillips Island akan diceritakan dalam entri berikutnya.

Hari Isnin sehinggalah Rabu, anak-anak mereka banyak menghabiskan masa di rumah, manakala anak-anak kami pula ke sekolah. Saat yang amat tidak mengembirakan mereka tetapi mengelak dari keluar berjalan-jalan. Ibu bapa mereka pula sempat meronda-ronda di Melbourne City, ke Dandenong Market, Dandenong Plaza dan juga Carribean Market. Ikutkan hati banyak lagi tempat yang ingin dikunjungi mereka tetapi terasa masa bagaikan begitu pendek sekali. Ditambah pula penat yang masih terasa.

Diharapkan mereka bergembira dan seronok dengan apa yang telah dilalui. Moga tercapai segala hajat dan impian mereka. Mohon maaf atas setiap kekurangan.

Wednesday, August 12, 2009

Tetamu Malaysia - Famili Ipar

Selepas solat Subuh pada pagi Ahad (09/08/2009), saya terus bergerak menuju ke Melbourne Airport. Perjalanan di pagi minggu melalui Monash Freeway (M1) lancar, tiada traffic jam di mana-mana. Cuma laluan terowongnya ditutup. Laluan alternatif di pinggir M1 berliku, ke kiri dan ke kanan bersilih ganti. Nasib baik GPS dibawa bersama, jika tidak, entahlah… kerana laluannya tidak pernah dilalui. AlhamduliLlah.

Penerbangan MAS dari KLIA yang dinaiki keluarga adik ipar, Eusni Rahayu berserta suami, Mohd Fahimey dan anak-anak; Ainul Farhah, Aiin Farhani, Muhd Arif Farhan dan Muhd Adam Haliq mendarat sekitar jam 07:00 pagi. AlhamduliLlah setibanya di kawasan menunggu, kelihatan mereka berjalan keluar dari pintu Ketibaan. Perubahan cuaca dari panas di Kuala Lumpur kepada sejuk di Melbourne sedikit sebanyak memberikan kejutan tetapi mereka telahpun bersedia dengannya.

Menurut ibu mereka, perkara pertama yang ditanya oleh Arif dan Adam adalah mana saljinya. Teruja betul mereka untuk bermain salji. Harap-harap tercapai impian mereka kerana tahun ini salji di Lake Mountain, kawasan rekreasi salji yang paling hampir dengan Dandenong kurang menjadi. Moga dimakbulkan Allah. Ameen.

Kunjungan mereka ke Melbourne sememangnya ditunggu-tunggu oleh anak-anak kami, sepupu mereka yang sebaya. Masing-masing ada pasangannya. Ainul dengan Hanisah, Aiin dengan Solehah, Arif dengan Izzuddin dan Adam pula kamcing (rapat) dengan Imran. Eloklah tu…

Sepanjang hari di rumah, masih jelas kelihatan rona mengantuk, pening dan keletihan di wajah mereka, kesan dari 8 jam di udara. Namun masing-masing seakan sayang untuk tidur kerana seronok dapat bersama. Suhu sejuk di luar rumah tidak dihiraukan. Sempat lagi mereka bermain berkejaran dan bermain selut di laman belakang. Katanya di Malaysia tidak berpeluang bermain selut…8) Petangnya mereka dibawa berjalan-jalan di sekitar bandar Dandenong dan juga ke Dandenong Plaza. Pantang berjumpa kawasan lapang, berkejaran lagi mereka hingga kepenatan.

Menjelang tengahari keesokan harinya (Isnin, 10/08/2009), menaiki Toyota Tarago (sewaan dari Hertz), mereka bertolak ke Port Campbell menyusuri Great Ocean Road yang indah dengan panorama pantai yang mengunjur sejauh ratusan kilometer sambil melihat batuan pinggir lautnya yang unik dan mempunyai sejarah tersendiri. Seterusnya bergerak pula ke Mt. Gambier di mana terletaknya Blue Lake, Sinkhole dan gua bawah tanah pada hari berikutnya sebelum bermalam di Hamilton. Pada hari Khamis pula mereka akan ke Ballarat untuk mengimbau suasana perlombongan emas seawal tahun 1850an, seterusnya kembali semula ke Dandenong.

Di penghujung minggu ini kami merancang untuk bermain salji di kawasan tanah tinggi dan juga ke Phillip Island untuk melihat deretan little penguin naik ke sarang serta merasai pengalaman kangaroo menjilat makanan dari tangan di Wildlife Park. Beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Malaysia (Khamis, 20/08/2009), mereka disarankan untuk berjalan-jalan di sekitar Melbourne.

Diharapkan mereka bergembira sepanjang percutian mereka dan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kekuatan. Juga tercapai hendaknya segala impian, harapan dan perancangan mereka dengan membawa kenangan nan indah pulang ke tanah air. Ameen.

Tuesday, August 11, 2009

Makan2 Menjelang Ramadhan

Selepas majlis Pot Luck Dandenong yang diadakan di rumah Tg. Rashdan-Azura 2 minggu lalu, ada yang merancang untuk berjumpa lagi sebelum tibanya bulan Ramadhan kira-kira 2 minggu lagi.
Uji bersama bersama suaminya, Peter dan mertuanya
Awal-awal lagi Uji (Rozlawati) yang tinggal di 8, Caroline St, Dandenong bersetuju menjadi hos. Sebenarnya telah lama Uji berserta suaminya, Peter Scully (Aussie) berhajat menjemput rakan-rakan di sekitar Dandenong untuk bertandang ke rumahnya.

Pada hujung minggu baru-baru ini (Sabtu, 08/08/2009), impian Uji menjadi kenyataan. Cuaca pada hari berkenaan amat baik sekali, panas dari pagi hinggalah ke petang. AlhamduliLlah.
Koleksi foto terdapat di Album Foto Kami (Menjelang Ramadhan) atau klik di sini.

Majlisnya bermula kira-kira jam 1:00 tengahari, memberi peluang rakan-rakan dapat mengerjakan solat Zohor di rumah masing-masing. Kami sekeluarga (juga Zidah, Kak Siti, Azie dan keluarga Lajiman) datang lebih awal untuk membantu Peter dan Uji menyediakan persiapan majlis terutama mencucuk sate dan menyusun atur kerusi-meja di laman belakang rumahnya.

Sambutan rakan-rakan sekampung (Dandenong-Noble Park) serta tetamu jemputan dari Clayton, Frankston dan Glen Waverley amat baik sekali. Turut serta memeriahkan majlis adalah ibu dan bapa mertua Uji serta kenalannya. Terasa keseronokannya apabila dapat bersua muka, bertanya khabar berita dan saling berkongsi cerita. Anak-anak juga tidak kurang gembiranya bermain bersama rakan sebaya mereka.

Pelbagai juadah pot luck yang dibawa hebat-hebat belaka dan amat menyelerakan seperti roti jala, laksa Penang, rojak buah, nasi kerabu, puding, kek, buah-buahan dan bermacam-macam lagi. Paling istimewa adalah sate ayam dan BBQ lamb dengan perencahnya dibuat oleh Peter sendiri. Satenya sedap sekali, tidak kalah dengan mana-mana sate yang terkenal di tanah air. 300 cucuk sekejap sahaja habis diserbu tetamu.

Kemuncak majlis adalah tazkirah ringkas Penghayatan Ramadhan yang disampaikan oleh Ustazah Nur Hidayah, jemputan khas dari La Trobe University. Ustazah adalah pensyarah UiTM Shah Alam, juga seorang peguam syarie, empunya laman blog Sekadar Pendapat. Tazkirah yang amat baik sebagai perangsang dan persediaan sebelum tibanya Ramadhan terutama kepada yang mendambai keredhaanNya. Terima kasih Ustazah. Maaf atas kekurangan.

Sebelum melangkah pulang, masing-masing membawa bekal lebihan juadah yang berbaki. Sekurang-kurangnya dapat merasa juadah yang tidak berkesempatan untuk dijamah dek kekenyangan ataupun untuk hidangan makan malam. Tersenyum puas tuan rumah melepaskan setiap jemputan pulang.

Malamnya kami tertidur kepenatan. Kerusi-meja dan lain-lain kelengkapan majlis dibiarkan begitu sahaja di kereta, “Esok sahajalah diuruskan”. Mengikut perancangan awal, sepatutnya rakan dari Adelaide, South Australia akan bermalam di rumah kami tetapi membatalkannya di saat-saat akhir. Begitulah aturan Allah SWT. Ada hikmahnya.

Keesokan harinya selepas solat Subuh, perlu bergegas pula ke Melbourne Airport menjemput keluarga adik ipar tiba dari tanah air, datang bercuti ke Melbourne.

Thursday, August 6, 2009

TAHNIAH Ustaz Razak

TAHNIAH Ustaz (Dr) Muhammad Razak Idris yang terpilih sebagai Presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang baru untuk tempoh 2009 – 2011. Berikut sebahagian kenyataan akhbar bertarikh 04/08/2009, kutipan daripada laman web rasmi ABIM Pusat, http://www.abim.org.my/.
Bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM yang ke-38 di Dewan Besar, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jama’ah (SAMTTAJ), Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, telah menyaksikan pertukaran kepimpinan ABIM untuk sessi pimpinan 2009 sehingga 2011.
Muktamar ABIM telah sebulat suara memilih Muhamad Razak Idris sebagai presiden. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ustaz Razak yang saya kenali amat humble orangnya. Amat mudah didekati, senang membantu dan sentiasa terbuka dalam berinteraksi. Beliau baru sahaja menamatkan pengajian peringkat PhD-nya di The University of Melbourne dan telah kembali ke tanah air beberapa minggu lalu. Tidak disangka begitu cepat sekali beliau melangkah ke atas. Benarlah bak kata bidalan; tuah ayam nampak pada tajinya, tuah manusia siapa yang tahu.
Bersama Dr. Nordin Assudali ketika Open House Raya Dandenong pada tahun 2007
Selama di Melbourne, Ustaz Razak amat aktif dalam program-program kemasyarakatan terutama melibatkan kebajikan komuniti Islam dan pendidikan keinsanan Islam di kalangan keluarga Malaysia di sini.
Badan Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Insan (EHSAN) adalah antara organisasi yang diterajuinya. Pada masa yang sama bergerak aktif dalam Victoria Malaysian Post Graduate Association (VMPGA) dan beberapa badan kebajikan dan perkumpulan setempat.
Didoakan moga Ustaz terus istiqamah dalam perjuangan bersama barisan kepimpinan baru. Terus-terusan mengorak langkah menegakkan kebenaran dan keadilan berteraskan Islam. Sekaligus memacu ummah terutama di kalangan belia yang kental dan mantap jiwa keislamannya sebagai pelapis kepimpinan negara di masa hadapan. Selamat berjuang Ustaz.

Wednesday, August 5, 2009

Rumah Kami Rumah Sewa

Rumah sewa di Australia, khususnya di Melbourne biasanya diuruskan oleh real estate agent yang dilantik oleh pemilik rumah. Umumnya ia merangkumi proses pengiklanan, lawatan pemeriksaan, penandatanganan kontrak, pemeriksaan berkala dan pembaikan kerosakan yang dilaporkan. Hanya segelintir sahaja yang diuruskan sendiri oleh pemilik rumah.

Pemandangan hadapan rumah 2 tahun lepas, sama juga suasananya kini

Bagi kami, ianya sedikit berbeza. Pencarian penyewa dilakukan oleh agen sehinggalah kontrak pertama ditandatangani. Proses seterusnya termasuk pembaikan kerosakan dan pembaharuan kontrak tahunan dilakukan secara langsung dengan pemilik rumah kami, pasangan muda Greek yang amat baik hati dan prihatin; Anastasious dan Kristali Strydis.

Sehingga kini telahpun hampir 2 tahun kami menetap di rumah sewa mereka yang terletak di tepi Heatherton Rd, Dandenong North ini. Hampir setiap tahun pada awal Ogos, mereka bertandang ke rumah kami untuk menandatangani kontrak baru untuk setahun berikutnya.

Sesuatu yang kurang seronok bagi penyewa rumah, biasanya pembaharuan kontrak berserta dengan kenaikan sewa rumah. Pada tahun lepas, sewa rumah kami naik $15.00 seminggu, menjadikan peningkatan sewa bulanannya kepada $1,191.00. Sesuatu yang sudah dijangkakan kerana hampir kesemua penyewa lain mengalami situasi yang sama, malah ada yang lebih tinggi lagi. Pembukaan lebuhraya bertol kedua di Melbourne, Eastlink yang merintangi Dandenong antara penyebab utama kenaikan nilai hartanah (termasuk sewa) di sekitarnya.

Bersama Kristy dan Tas ketika Rumah Terbuka Raya 2007
Pembaharuan kontrak tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan telahpun ditandatangani bersama pada hari Sabtu baru-baru ini. AlhamduliLlah tiada sebarang kenaikan sewa, kekal pada kadar sama. Telah juga dipersetujui, kontrak penyambungan sewaan selepas ianya tamat akan dilakukan secara bulanan (kiranya pengajian Laili belum selesai) sehinggalah kami berangkat pulang ke tanah air. Terima kasih Tas dan Kristy.

Jika pada tahun lepas, Tas dan Kristy hanya datang berdua, namun pada tahun ini mereka bertiga, bersama anak sulung mereka yang comel, Annabelle yang baru berusia 7 bulan. Terlupa pula untuk rakamkan foto terbaru mereka. Mungkinkah pada tahun hadapan mereka datang berempat pula? Ketika rancak berbual, Kristy ada membayangkannya, malah turut meminta pandangan Laili mengenainya. Pasti sahaja jawabannya positif dan sambutannya juga positif. Moga tercapai hajat mereka berdua. Alangkah baiknya jika ada nanti yang menerima Islam sebagai anutan mereka. Siapa tahu? Ameen.