Saturday, April 19, 2008

Cuti-Cuti Australia - Persediaan

Zam zam ala kazam... mak dan abah selamat mendarat turun di Gold Coast
Setiap kali merancang untuk bercuti, perancangan yang teliti perlu dibuat. Lagi lama masa dan jauh jarak perjalanan lebih banyak hal yang perlu diberikan perhatian. Tapi adakala terlepas pandang juga, bak kata peribahasa, “setelah terhantuk baru tengadah”.

Untuk perjalanan kami ke Gold Coast, turun ke Sydney dan Canberra, seterusnya bertolak pulang ke Melbourne, perancangan dan persediaannya telah dilakukan sejak 2 bulan sebelumnya. Perkara utamanya adalah tempat lawatan, tempat bermalam, kereta sewa dan tiket kapal terbang. Tidak terkecuali soal makanan halal dan solat di jalanan. Kalau kat Malaysia makan-minum dan solat tidaklah menjadi isu kerana kemudahannya ada di mana-mana.

Untuk mencari tempat bermalam, menyewa kenderaan dan membeli tiket penerbangan semuanya perlu dilakukan secara online. Untungnya tak perlu menelefon ke sana-sini. Bolehlah melayari internet sebelah malam.

Tempat Bermalam

Inilah yang terpenting dan paling memeningkan kepala. Rumah/ apartmen/ kabin/ etc perlu ditempah awal, tambahan pula pada musim cuti persekolahan. Pada masa yang sama lokasi lawatan dan singgahan perlu diatur lebih awal. Budget pun nak kena tengok juga.

Agak susah juga untuk membuat tempahan kerana kebanyakan tempat sewaan yang menarik telahpun penuh. Apatah lagi untuk memuatkan 10 orang kesemuanya. Tambahan pula kami sendiri pun tidak arif akan persekitaran dan lokasinya, sekadar berpandukan pada peta semata-mata

Di hadapan rumah sewa di Gold Coast
Di Gold Coast, kami menempah sebuah rumah di Burleigh Heads, tidak jauh dari Gold Coast Airport untuk tempoh 4 hari 3 malam (Jumaat – Isnin). Di Sydney pula kami dapat Olympiad Apartment 2 bilik di tingkat 4 untuk 3 hari 2 malam (Isnin – Rabu). Memandangkan masih banyak tempat yang perlu dilawati di Sydney, tambahan pula mendapat tawaran bermalam di Malaysian Hall dan di rumah kawan Laili, kami berada di Sydney sehingga hari Khamis. Seterusnya di Canberra pula setakat cabin sahaja (2 buah) di Goulburn untuk tempoh 2 hari 1 malam (Khamis – Jumaat)..

Tempat Lawatan

Ini pun tidak kurang memeningkan kepala. Mana nak pergi dan tempat mana yang perlu dilawati pun kami kurang mengetahui. Jika dirujuk pada tempat-tempat menarik dalam internet, semuanya tempat dipromosikan menarik. Akhirnya keputusan dibuat di saat-saat akhir. Kami beli tiket di kedai RACV (macam AAM kat Malaysia) yang ada potongan istimewa untuk ahli RACV.

Di Gold Coast, tempatnya Australia Zoo, Underwater World dan Sea World. Habis tempoh 4 hari di Gold Coast. Tak berkesempatan untuk menikmati keindahan pantai dan laut yang dikatakan amat mengkagumkan. Sepatutnya kami luangkan masa sehari untuk berjalan-jalan dan bersantai di pantainya. Hari ke-4, sehari perjalanan ke Sydney.

Di Darling Harbour sebelum menaiki feri ke Opera House
Di Sydney pula, tempatnya di sekitar Darling Harbour, antaranya Sydney Aquarium, Wildlife World, Opera House, Botanical Garden, Harbour Bridge dan Sydney Tower. Juga ke Taronga Zoo. Manakala di Canberra pula sekadar di sekitar Parliament House dan singgah solat jamak di Canberra Mosque (Masjid Abu Bakar) yang terletak berhadapan Kedutaan Malaysia. Dari pencarian kami pun tidak banyak tempat yang benar-benar menarik di Canberra.

Awalnya kami merancang nak ke Adelaide sehingga hari Ahad tetapi dibatalkan kerana dirasakan perjalanan yang dirancang pun amat memenatkan. Tambahan pula sekolah akan dibuka untuk penggal kedua pada hari Isninnya. Bagi peluang pada anak-anak untuk berehat.

Tiket Kapalterbang

Di samping Qantas terdapat beberapa syarikat penerbangan tambang murah, antaranya Jet Star, Virgin Blue dan Tiger Airways. Jika bernasib baik terdapat tawaran menarik dengan harga tambang murah serendah AUD 10.00 (harga bersih tanpa cukai). Ini yang kami terlepas.

Tiket penerbangan yang ditempah hanya untuk ke Gold Coast sahaja iaitu Tiger Airways. Balik ke Melbourne menaiki kereta sewa sambil melancong.

Kereta Sewa

Kereta sewa, Camry dan Corolla
Terdapat banyak syarikat kereta sewa di Australia, antara yang popular adalah Thrifty, Hertz, Avis, Budget dan Europcar. Perbandingan harga boleh dilakukan secara online untuk mendapatkan harga yang termurah. Di samping harga, tawaran unlimited km perlu diberikan perhatian terutama untuk perjalanan melebihi 100 km.
Di Gold Coast, kami menyewa dari Thrifty kerana lebih murah untuk tempoh masa pendek. Tambahan pula ada potongan sebagai ahli Thrifty. Keretanya, MPV Kia Grand Carnival dan compact car (diupgrade kepada 4 WD). Kedua-duanya diambil di Gold Coast Airport, sedikit airport charge dikenakan.

Manakala untuk perjalanan ke Sydney – Canberra – Melbourne, kami menyewa dari Hertz menggunakan keistimewaan potongan harga ahli RACV. Keretanya Toyota Camry dan Toyota Corrolla. Emm... dapatlah merasa 4 jenis kereta.

Makanan Halal

Perancangannya kami akan memasak makanan. Jadi periuk nasi dan pinggan mangkuk perlu dibawa sama. Begitu juga rempah ratus, makanan segera , beras dan lain-lain keperluan turut dibawa sebagai asas. Bekalan seterusnya dibeli di mana-mana pasaraya yang ditemui. Kuali, pinggan dan seumpamanya yang terdapat di rumah sewa boleh digunakan tapi perlu disamak terlebih dahulu.

Begitulah secara umum persediaan yang dilakukan. Pelbagai kesulitan dan karenah yang timbul tapi dari situlah timbulnya pengajaran dan peringatan. AlhamduliLlah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

Monday, April 14, 2008

Famili Dari Malaysia

Bakhtiar dan Suraya di Darling Harbour
Hari demi hari terus berlalu. Tanpa disedari dah lebih 3 minggu blog ni tidak diupdate. Bukannya tak ada masa tetapi asyik dok bertangguh aja.

Semalam, Bakhtiar (ipar) dan orang rumahnya, Suraya dah berangkat pulang ke tanah air. Awal pagi semalam, mereka menaiki Tiger Airways ke Gold Coast, Queensland. Malam tadi naik Air Asia pula ke Malaysia. Awal pagi tadi, Alhamdulillah selamat tiba di KLIA. Terima kasih Bat dan Aya. Sampaikan salam kami pada saudara mara dan kenalan di tanah air.

Dah 2 minggu mereka berada di Australia. Mereka turun di Gold Coast Airport menaiki Air Asia pagi Sabtu (29/03/2008) bersama-sama dengan mak dan abah (ibu bapa Laili). Kami sekeluarga pula ke Gold Coast sehari sebelumnya. Kebetulan pula anak-anak sedang cuti sekolah penggal pertama selama 2 minggu.

Di hadapan Opera House, Sydney
Tiga hari di Gold Coast, kami berkunjung ke Australia Zoo (Crocodile Hunter) dan Underwater World di Sunshine Coast. Juga ke Seaworld di Surfers Paradise. Dari Gold Coast, kami turun ke Sydney, New South Wales. Tiga hari di Sydney kami melawat Taronga Zoo, Sydney Wildlife World, Sydney Aquarium dan Sydney Tower. Kami juga berkesempatan menaiki feri di jeti berhadapan Sydney Convention Centre di Darling Harbour melalui Harbour Bridge dan The Rocks ke Opera House dan Botanic Gardens. Pagi Jumaat kami ke Canberra, sekadar melewati Parliament House dan singgah di Masjid Canberra yang terletak berhadapan Kedutaan Malaysia. Petangnya, kami terus bertolak pulang ke rumah di Dandenong, Victoria dan tiba di rumah lewat malamnya.

Di Melbourne, mereka berkunjung ke Phillip Island, melawat Churchill Island Heritage Farm, Koala Sanctuary dan Penguin Parade. Mereka juga di bawa menaiki feri merentasi Port Phillip Bay dan menikmati keindahan pantai di sepanjang Great Ocean Road serta keunikan arca batu di Port Campbell. Malah mereka turut sama merasai pengalaman barangan murah di Garage Sale dan di Trash & Treasure Market. Bat dan Aya lebih panjang langkahnya, dengan tiket AUD 9.50 mereka menaiki train, tram dan bas tanpa limit di Melbourne City.

Bakhtiar dan Suraya pulang ke Malaysia, Hadi dan kawannya, Khalil pula datang. Mereka tiba di Gold Coast Airport pada pagi Sabtu menaiki Air Asia. Malamnya menaiki Jet Star ke Melbourne Airport.

Insya Allah mereka bersama mak dan abah akan tinggal bersama kami di Australia sehingga pertengahan Jun.