Saturday, March 15, 2008

Tetamu Dari Malaysia - Keluarga Azura

Azura berdiri antara bapanya, berkemeja putih dan bapa saudaranya serta ibunya, berbaju hitam
Malam semalam, Jumaat malam Sabtu (14/03/2008), kami amat berbesar hati menerima kunjungan keluarga Azura-Tengku Rasydan. Bapa dan ibunya serta bapa saudaranya, Uncle Zakaria sudi datang memenuhi jemputan kami. Malangnya Auntie Hasnah, isteri Uncle Zakaria tidak dapat turut serta kerana demam. Mereka di sini dah hampir seminggu dan dijangka pulang minggu hadapan. Mereka datang menziarahi Azura dan Rasydan sambil melancong.

Kedua ibubapa Azura, yang mesra dengan panggilan Uncle dan Auntie amat ramah sekali. Begitu juga Uncle Zakaria. Banyak hal diperbualkan. Isu pilihanraya dan sokongan pengundi yang beralih arah kepada Barisan Rakyat antara isu hangat yang diperkatakan. Kata mereka sebagai pengajaran kepada pemerintah yang tidak memberi perhatian kepada rakyat.

Mereka juga mengimbau kisah-kisah lama mereka. Kisah kehidupan mereka ketika di United Kingdom, kisah kerja sebelum bersara dan macam-macam lagi. Rupa-rupanya bapa Azura berasal dari Batu 14, Hulu Langat dan pernah bekerja di Durian Mas, nama lama untuk Bandar Al-Muktafibillah Shah (AMBS) di Dungun, Terengganu. Berkebetulan, Laili juga pernah berkerja di kedua-dua tempat tersebut. Kira-kira 1 ½ tahun di Klinik Kesihatan AMBS, sekitar tahun 1995. Manakala lebih 7 tahun berulang alik ke Klinik Kesihatan Batu 14, salah sebuah klinik HUKM yang terlibat dalam pengajian peringkat Master.

Kedua ibu bapa Azura kini tinggal di Bukit Antarabangsa. Tak disangka-sangka mereka amat kenal dengan keluarga bapa saudara Laili, Acik Shuib-Acik Noriah yang juga tinggal di Bukit Antarabangsa. Terasa kecil pulak dunia ni. Sama-sama tinggal di Ampang, Selangor tapi berkenalan di Dandenong, Australia. Begitulah aturan dariNya. Pasti menjadi topik hangat apabila mereka bersua Acik Shuib-Acik Noriah di tanah air nanti. Usah lupa, sampaikan salam ingatan mesra dari kami sekeluarga.

Sambil berbual mereka dijamu dengan nasi beriani gam berlaukkan tumis petai dan masak lemak nenas-ikan kurau kering. Azura turut bawakan sotong tumis dan juadah sampingan, bubur jagung. Menjelang jam 10:00 malam, mereka mohon beredar dengan harapan berjumpa lagi di lain kesempatan. Insya Allah. Sampaikan salam kami pada Auntie Hasnah yang tak sempat ditemui.

No comments: