Sunday, October 28, 2007

Daylight Saving Time

Hari ini bermulanya Daylight Saving Time di Australia (WA, SA, VIC, NSW & QLD) kecuali NT yang beriklim tropika seperti Malaysia di mana waktu harian dianjakkan ke hadapan awal sejam dari waktu sebenar. Kiranya sebelum ini waktu sebenar pukul 09:00 pagi, kini dianjakkan menjadi 10:00 pagi. Ianya akan berlanjutan kira-kira 5 bulan sehingga akhir bulan Mac 2008. Begitulah dilakukan setiap tahun.

Persoalannya kenapa dilakukan seumpama itu? Jawapannya simple aja, untuk selamatkan masa siangnya yang semakin memanjang terutama waktu paginya yang semakin awal. Menjelang musim panas (summer) yang akan bermula pada Disember nanti, setiap hari matahari muncul lebih cepat sehingga jam 03:00 am waktu sebenar dan terbenam agak lewat, melewati hampir jam 09:00 pm waktu sebenar.

Dengan anjakan masa kira-kira sejam dapat mempercepatkan urusan seharian terutama urusan kerja, sekolah, perniagaan dan lain-lain. Namun waktu solat tidak berubah dari segi waktu perlaksanaannya kerana ianya bergantung kepada perjalanan matahari. Cuma bagi yang bekerja dan bersekolah, mereka boleh mengerjakan solat Zohor di rumah kerana waktu Asarnya menjadi semakin lewat disebabkan oleh waktu kerja dan sekolahnya telah dipercepatkan.

Bayangkan tanpa Daylight Saving Time ini banyak masa di waktu paginya terbuang menunggu waktu sebenar untuk melaksanakan urusan seharian. Walaupun masa di sebelah petangnya menjadi semakin panjang tetapi ianya lebih baik, tambahan pula banyak aktiviti petang dapat dilakukan dengan lebih tenang dan teratur seperti pertandingan, bersukan, shopping dan seumpamanya.
Teringat ketika di Adelaide pada tahun lepas sewaktu menatap Islamic Taqwim yang diambil dari sebuah masjid selepas solat Jumaat. Kami beranggapan ianya tersilap cetak kerana tiba-tiba sahaja waktu solatnya melonjak lewat sejam dari waktu sebelumnya. Akhirnya kami dimaklumkan oleh warga Malaysia yang telah lama di sana bahawa ianya adalah Daylight Saving Time yang berlaku setiap tahun. Ooo... begitu ceritanya. Kami tergelak sesama sendiri mengingatkan andaian rambang kami.
Panduan :-

WA – Western Australia
SA – South Australia
VIC – Victoria
NSW – New South Wales
QLD – Queensland
NT – Northern Territory

Thursday, October 25, 2007

Fenomena Musim Bunga

Suhu hari ini agak sejuk hingga terasa ke tulang. Baju sejuk dan stoking yang dipakai pun rasa macam tak ada apa-apa, nak ke tandas pun terasa malas. Imran yang terkenal tahan sejuk pun turut mengeluh, terpaksa dipakaikan baju tebal. Menurut TV, ramalan suhunya 20 darjah Celcius dan yang terbaru diumumkan 17 darjah Celcius. Hujan renyai-renyai turun sejak pagi belum berhenti, makin menyejukkan suhu persekitaran.

Hujung minggu baru-baru ini lain pula ceritanya. Cuacanya agak panas dan perit mengigit kulit dengan matahari bersinar tanpa dibatasi awan. Suhunya mencecah 35 darjah Celcius walaupun paginya diramalkan cuaca panas dengan suhu 25 darjah Celcius, dikatakan tertinggi sepanjang musim bunga ini. Malah adakalanya panas ataupun hujan diiringi angin menderu sejuk. Dalam sehari pula boleh jadi ada panas, hujan dan angin bersilih ganti.

Begitulah fenomena suhu di musim bunga di Melbourne, diakui sendiri oleh penduduk jati Australia. Umumnya ramalan cuacanya boleh dipercayai dan sememangnya menjadi rujukan setiap hari sebelum melangkah keluar dari rumah. Namun, ibarat kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan perlu dipraktikkan kerana ianya sekadar ramalan dan biasanya boleh berubah secara tiba-tiba.

Bunga Ros kuning dihadiahkan oleh Kristie, mekar segar berkembang
Namun begitu musim bunga (spring) sememangnya ditunggu-tunggu setelah semusim menahan sejuk di musim sejuk (winter). Pepohonan yang hanya tinggal ranting sebelum ini kembali menghijau segar dan pepohon bunga mula mengeluarkan bunga yang pelbagai warna dan rupa. Amat menarik sekali terutama kepada peminat bunga dan hiasan laman. Yang tak menariknya rumput dan pokok renek yang tak diperlukan pun turut galak melonjak naik dengan cepat. Apa yang dibimbangkan adalah spesies menjalar seperti ular mula aktif keluar mencari makan sama seperti mangsanya tikus dan katak. Begitu juga semut dan nyamuk yang "bertapa" sepanjang musim sejuk mula keluar merayap dan berterbangan dengan bebas.
Di samping itu, dari sehari ke sehari waktu siangnya semakin memanjang berbanding waktu malam. Seperti hari ini, matahari terbit seawal jam 05:20 pagi dan akan tenggelam kira-kira jam 06:50 petang. Dan di musim panas nanti yang akan bermula pada bulan Disember nanti, waktu siangnya akan lebih panjang lagi, ada ketika sehingga 17 jam berbanding malamnya hanya 5 jam sahaja. Bayangkan waktu Maghrib dan Isyaknya begitu lewat sedangkan Subuhnya begitu awal sekali... pasti ramai yang tidur balik selepas solat Subuh.

Monday, October 22, 2007

Eidil Fitr Warga Dandenong

6 suri Dandenong, dari kiri; Suraya, Laili, Su Aznan, Azura, Kak Siti (berdiri) dan Suharti

Semalam, Ahad (21/10/2007), kami warga Malaysia di Dandenong (6 keluarga) bersepakat menganjurkan rumah terbuka Eidil Fitr bertempat di rumah Aznan & Su untuk rakan-rakan rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar Melbourne City (Coburg, Preston dll). Menu utama kami adalah BBQ Biri-biri, Ayam dan Sosej. Manakala menu sampingan sumbangan setiap keluarga tak kurang hebatnya, antaranya Dendeng (kalau tak kami, siapa lagi..8), nasi beriani, roti jala, serawa durian, kuey teow goreng, mee goreng, puding, ketupat dan macam-macam lagi.

BBQ penuh aksi. Dari kiri; Khairul, Ropidi dan Khairuddin
Jam 08:30 pagi, kami mula berkumpul mengatur meja berserta juadah, membakar arang untuk BBQ dan lain-lain keperluan. Di samping kerahan tenaga 6 keluarga ini, kami berterima kasih atas ringan tangan rakan-rakan dari Clayton; Khairuddin, Azliza, Khairul, Azlina dan Norin.

Sementara menunggu kedatangan para jemputan, kami terlebih dahulu menikmati aneka juadah yang terhidang. Dan yang pasti daging BBQ panas menjadi pilihan utama, apatah lagi dengan aroma baunya yang mengecur selera.

Tetamu ralit menjamu selera
Sekitar jam 10:30 pagi, para tetamu yang datang secara konvoi mula sampai secara berperingkat-peringkat memenuhi laman belakang rumah Aznan & Su yang agak luas, termasuklah tetamu jemputan lain di kalangan rakan sekerja dan kenalan berdekatan. Kami turut berterima kasih atas kesudian Dr. Ali dari MSD yang turut sama memeriahkan sambutan walaupun sedikit terlewat. Melihatkan kemeriahan suasana sambutan, teringat akan sambutan Eidil Fitr keluarga yang diadakan hampir setiap Syawal di Hulu Kelang, sekurang-kurangnya terubat sedikit kerinduan terhadap keluarga di tanah air.

Cuaca semalam amat baik tetapi agak panas dari hari-hari sebelum ini, menjangkau 33 darjah Celcius. AlhamduliLlah semuanya berjalan lancar dan juadah pun mencukupi. Kami mula beredar meninggalkan rumah Aznan & Su dengan wajah penuh kepuasan walaupun terasa amat penat sekali. Insya Allah minggu hadapan kami warga Dandenong akan berkonvoi pula ke tempat mereka, memenuhi jemputan seumpamanya. Jumpa di sana….

Tuesday, October 16, 2007

Eidil Fitr Di Rantauan

Tahun ini Eidil Fitr di Australia telah ditetapkan oleh Australian Islamic Socety pada hari Sabtu, 13/10/2007 (sama seperti di Malaysia). AlhamduliLlah ianya jatuh pada hujung minggu, jika tidak terpaksalah ibu bapa yang bekerja dan anak-anak yang bersekolah mengambil cuti. Bagi masyarakat Turki, mereka merayakannya pada hari Jumaat, sama seperti sambutan di tanah air mereka.

Raya Pertama

Di padang Monash Uni - selepas solat sunat Eidil Fitr

Awal pagi, kami sekeluarga bergegas ke padang Monash University di Clayton, kira-kira 15 km dari rumah untuk mengerjakan solat sunat Eidil Fitri. Di padang yang luas, berkumpul Muslimin dan Muslimat dari pelbagai bangsa dan budaya dengan pelbagai gaya pakaian yang dipakai sama-sama bertakbir dan bersolat. Komuniti Islam Malaysia amat senang dikenali dengan sut baju Melayu bersamping bagi lelaki serta berbaju kurung bagi perempuan. Inti sari khutbah yang menekankan peri pentingnya penyatuan ummah juga amat baik untuk diambil iktibar.

Selesai solat, bermulalah acara kunjung-mengunjung secara konvoi dari rumah ke rumah mengikut aturan yang telah ditetapkan. Kunjungan pertama ke rumah Khairuddin di Clayton (gabungan Din-Liza, Khairul-Ina, Norin-Mar-Asmah) dengan juadah ala-Malaysia yang amat menyelerakan, antaranya lemang, nasi himpit, rendang, mee sop dll sambil dihiburkan dengan lagu-lagu raya.

Kemudian berkunjung ke rumah Radin, Dr. Mariana dan Nizam, juga di Clayton. Selepas itu bergerak pula ke Springvale ke rumah Zarina, Zamzuri dan Eddie. Seterusnya singgah pula di rumah Wafil, Lajiman, Aznan, Nordin dan Tengku Rashdan di Dandenong North. Juadah yang dihidangkan tidak kurang juga hebatnya, antaranya satay, serawa durian, roti kari, lontong, pulut kacang dan mee bandung (malah banyak lagi).

Wow… 12 rumah dalam satu hari (sehingga jam 09:00 malam), satu rekod yang tidak pernah dibuat hatta di Malaysia sendiri. Walaupun terasa amat letih tetapi menyeronokkan. Bukan sahaja mengenyangkan perut sehingga semput untuk bernafas tetapi dapat menjalin silaturahim yang lebih akrab sesama anak Malaysia di rantauan. Dan amat bersyukur sekali dengan sikap sporting anak-anak yang mengikut sahaja perancangan kami dengan penuh kesabaran walaupun tampak rona kepenatan di wajah mereka.

Raya Kedua

Laili sibuk melayan tetamu yang hadir
Hari ini kami tak ke mana-mana, hanya di rumah sahaja. Hari ini kami jadi hos rumah terbuka yang kami adakan. Seawal pagi, selepas solat Subuh… kemas rumah seterusnya acara memasak juadah untuk hidangan tetamu. Menu pilihan kami adalah, yang pasti Dendeng (dah dikenali sebagai Dendeng Dandenong), Laksa Terengganu (kuah putih ikan mackerel) dan Nasi Tomato (kuah kari biri-biri) dengan desert Puding Buah-buahan, Honey Joy dan buah-buahan.

Tas dan Kristie rancak berbual dengan Laili
Sambutannya amat menggalakkan, hampir 100 orang yang hadir memeriahkannya termasuk kanak-kanak yang tampak begitu ceria datang secara berperingkat-peringkat bermula jam 11:30 pagi sehinggalah jam 08:00 malam. Dan yang paling kami hargai adalah kesudian tuan rumah, Mr. Tas dan isterinya, Kristie meluangkan masa hampir 2 jam turut sama merasai kemeriahan sambutan Eidil Fitr.

Sebahagian dari tetamu yang hadir bergambar bersama
Segala letih dan penat selama 2 hari berkejar ke sana ke sini dan berhempas pulas menyediakan juadah bagaikan tidak terasa sehinggalah malam menjelma… barulah terasa badan amat lesu sekali dan mata bagaikan tidak boleh dibuka. Selepas solat Isya’ terus tidur… segala periuk-belanga-pinggan-mangkuk-sudu-garpu semuanya tolak ke tepi… besok ajalah basuh.

Foto Hari Raya

Berikut adalah sebahagian foto kemeriahan sambutan Eidil Fitr di Melbourne